Tiga penulis disenarai sebagai calon Anugerah Sea Write
KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) akan menyenaraikan tiga calon yang berpotensi menerima Anugerah Sea Write tahun ini.
Presiden Bahasa Jasni Matlani berkata, setakat ini tiga penulis yang dicadangkan adalah Datuk Jamdin Buyong, Sukor Usin (Hasyuda Abadi), dan Siti Rahmah Ibrahim.
Menurutnya, ketiga-tiga penulis berkenaan bukan sahaja tokoh sastera di Sabah malah banyak menerima anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Kita melihat tokohtokoh ini sangat berpotensi dan patut diketengahkan sebagai calon penerima Anugerah Sea Write.
“Cadangan ini akan diperjuangkan kerana kita mahu lebih ramai tokoh sastera di Sabah mendapat pengiktirafan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Forum Penulis dan Dakwah serta Hari Raya Penulis 2017 di sini pada Selasa.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Mohd Arifin Mohd Arif hadir sebagai tetamu kehormat.
Jasni berkata, selama ini kebanyakan pertemuan melibatkan penulis hanya dianjurkan di peringkat negeri.
Justeru jelasnya, karyakarya sastera Sabah kurang diperkatakan di peringkat kebangsaan dan serantau.
Katanya, perkara itu juga menjadi faktor peluang tidak terbuka luas untuk penulis Sabah menerima anugerah di peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu Arifin berkata, badan-badan sastera di negeri ini semakin giat melaksanakan pelbagai usaha ke arah mencapai Sabah sebagai dataran sastera dan budaya.
Menurutnya, programprogram seperti Mahrajan dan Festival Penulis antara yang mempromosikan pelancongan sastera dan ilmu di negeri ini.
“Kita percaya Sabah mampu mencapai sasaran berkenaan dengan adanya jumlah penulis yang ramai.
“Selain itu Sabah juga memiliki keunikaan alam yang sering diterjemahkan melalui karya-karya penulis kita,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah Norjanah Yusoff.