Iraq umum kejayaan banteras IS dari Mosul
Kumpulan pelampau kejam itu kehilangan ibu negara pemerintahan khalifahnya di Iraq
MOSUL: Perdana Menteri Haider al-Abadi semalam mengumumkan kejayaan dalam kempen menentang kekejaman dan keganasan di Mosul, sekali gus mengesahkan pasukan tenteranya telah menamatkan pemerintahan Islamic State (IS) di bandar kedua Iraq itu.
Berdiri bersama anggota pasukan keselamatan, Abadi memuji penguasaan semula Mosul di mana IS mengalahkan tentera Iraq tiga tahun lalu, sebagai detik bersejarah dalam perang antipelampau.
“Kejayaan kami pada hari ini adalah kejayaan mengatasi kegelapan, kekejaman dan keganasan, dan saya mengumumkan di sini, kepada seluruh dunia hari ini berakhirnya, gagalnya dan tumbangnya negara dongengan teroris Daesh (IS),” menurut Abadi dalam ucapan yang disiarkan di televisyen dari barat Mosul.
“Operasi ini dijalankan dengan perancangan, kejayaan dan pelaksanaan Iraq,” jelas Abadi sambil berterima kasih kepada semua negara yang menyokong Iraq dalam perang antiterorismenya.
Puluhan anggota pasukan keselamatan bersorak selepas beliau berucap, selain menari dan mengibarkan bendera serta menjulang senjata api mereka.
Pakatan diketuai AS itu yang menyokong kempen Mosul dan kempen lain ke atas kubu kuat IS Syria di Raqa, tetapi memberi amaran ia bukanlah menandakan berakhirnya perang menentang pelampau.
“Kejayaan ini sahaja tidak menghapuskan IS dan masih ada perjuangan yang sukar di hadapan.
“Tetapi kehilangan salah satu daripada dua ibu negaranya dan permata pemer- intahan khalifahnya adalah satu tamparan penentu,” kata Leftenan Jeneral Stephen Townsend, komander operasi antarabangsa anti-IS.
“Sekarang masanya untuk semua rakyat Iraq untuk bergabung bagi memastikan kekalahan IS di seluruh Iraq,” menurut Townsend.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump turut memuji kejayaan itu sambil mengatakan ia adalah isyarat bahawa zaman IS menghampiri penamatnya.
Tetapi membina semula bandar musnah Mosul dan membantu orang awam adalah satu tugas besar, dan kumpulan bantuan memberi amaran krisis kemanusiaan Iraq belum berakhir.
Kota Lama Mosul khususnya musnah, dengan banyak bangunan tinggal rangka konkrit dan puing mengotori jalan raya.
Abadi berkata, selain terus menangani IS, Iraq mempunyai cabaran lain termasuk misi penstabilan dan pembinaan.
Tentera Iraq pada Isnin masih bergelut untuk menghapuskan saki-baki penentangan IS di Mosul, di mana pelampau terkepung dalam daerah kecil di Kota Lama Mosul.
“Kejayaan kami pada hari ini adalah kejayaan mengatasi kegelapan, kekejaman dan keganasan, dan saya mengumumkan di sini, kepada seluruh dunia hari ini berakhirnya, gagalnya dan tumbangnya negara dongengan teroris Daesh (IS), ” HAIDER AL-ABADI Perdana Menteri
Askar bersenjatakan mesingan dan raifal penembak tepat melepaskan tembakan dari atas struktur ranap di Kota Lama, manakala serangan udara menyaksikan asap berkepul di pusat bersejarah Mosul.
Staf Leftenan Jeneral Sami al-Aridhi, komander kanan dalam pasukan elit antiterorisme terdahulu berkata, tentera Iraq masih terlibat dalam pertempuran sengit dengan saki-baki pasukan pelampau tetapi pertempuran itu menghampiri penamatnya.
Selepas Abadi bercakap, Aridhi berkata, operasi mencari dan membersih masih perlu dijalankan setelah kempen utama selesai.
Kempen untuk merampas semula Mosul dilancarkan pada Oktober tahun lepas setelah bandar tersebut dikuasai pemberontak pada pertengahan 2014.
Kos kejayaan begitu besar apabila sebahagian besar Mosul ranap, ribuan mati dan cedera manakala hampir separuh populasinya terpaksa melarikan diri.
PBB berkata, 920,000 penduduk melarikan diri semasa operasi di Mosul.
Amnesty International semalam menyeru suruhanjaya siasatan jenayah ke atas orang awam di Mosul oleh semua pihak yang terlibat dalam peperangan.—