Negeri sembilan yakin ke Liga Super musim depan
KUALA LUMPUR: Walaupun gagal mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam Liga Premier setelah kalah 2-3 kepada Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, Negeri Sembilan tetap yakin akan dinaikkan taraf untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.
Pengarah Teiknikal Negeri Sembilan FA Jorg Peter Steinebrunner berkata kekalahan kepada pesaing terdekat mereka itu tidak bermakna perjuangan untuk dinaik taraf sebagai pasukan Liga Super sudah berakhir.
Kelalahan itu menyaksikan Kuala Lumpur merampas kedudukan Negeri Sembilan sebagai pasukan teratas dengan kelebihan satu gol, walupun kedua-dua pasukan berkongsi 32 mata setelah melalui 15 perlawanan.
“Kami mempunyai cukup banyak peluang untuk menjaringkan gol, terutama pada separuh masa kedua, tetapi kami gagal memanfaatkannya. Namun demikian, saya ingin memuji para pemain kerana telah beraksi dengan cemerlang.
“Berakhirnya rekod tanpa kalah itu bukan perkara besar, tetapi apa yang penting ialah kedudukan Negeri Sembilan pada penghujung musim ini dan saya amat yakin para pemain akan menjadikan kekalahan itu suatu pengajaran terbaik bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” kata Steinebrunner kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur Fabio Joaquim berkata beliau gembira dengan kemenangan tersebut dan yakin anak buahnya akan meneruskan momentum kemenangan dalam mengharungi baki tujuh lagi perlawanan untuk terus menghidupkan harapan mereka dinaikkan taraf bermain dalam Liga Super musim depan.