Turki rai kegagalan cubaan rampasan kuasa
Rapat umum diadakan di seluruh negara bagi memperingati tarikh epik 15 Julai, 2016
ANKARA: Turki kelmarin meraikan setahun sejak kegagalan cubaan rampasan kuasa dengan rapat umum di seluruh negara yang bertujuan menunjukkan perpaduan nasional dan satu amaran tegas oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan untuk ‘memotong kepala’ pembelot.
Pihak berkuasa mengisytiharkan 15 Julai sebagai cuti umum tahunan demi demokrasi dan perpaduan, menguar-uarkan kegagalan cubaan rampasan kuasa itu sebagai kejayaan bersejarah demokrasi Turki.
Dalam program padat bertujuan menekankan kepentingan ulang tahun itu, Erdogan menghadiri sesi khas di Parlimen di Ankara, berucap di hadapan orang ramai di Istanbul sebelum pulang semula ke ibu negara untuk menghadiri rapat umum di luar Parlimen dan satu acara khas di istana presiden awal pagi semalam.
Berucap di hadapan ratusan ribu penonton berhampiran jambatan yang merentasi Selat Bosphorus di Istanbul yang pernah menyaksikan sorotan pertempuran, Erdogan memberi amaran Turki mungkin memperkenal semula hukuman mati mandatori.
“Pertama sekali kita akan memotong kepala para pembelot itu,” kata Erdogan saat mengesahkan semula bahawa beliau akan meluluskan sebarang draf parlimen mengenai pelaksanaan semula hukuman mati mandatori yang dimansuhkan pada 2004.
Erdogan turut berkata, suspek yang dibicarakan dalam kes cubaan rampasan kuasa itu mesti memakai seragam seperti baju monyet oren yang digunakan di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo.
“Apabila mereka muncul di mahkamah, pastikan mereka memakai seragam seperti di Guantanamo,” kata Erdogan disambut sorak-sorai penonton.
Para penyokong melaung ‘kami adalah tentera Tayyip (Erdogan)’, malah ada di antara mereka menunjukkan tali gantung sebagai simbol sokongan mereka terhadap hukuman mati mandatori.
Dalam ucapan lanjut di luar Parlimen di Ankara yang dibom jet pejuang pada malam rampasan kuasa itu, Erdogan berkata, ‘negara kita menunjukkan kepada dunia apakah negara kita pada 15 Julai’.
Orang ramai kemudian berduyun-duyun ke istana presiden di mana ramai telah berkhemah di luar untuk acara rasmi terakhir di mana Erdogan merasmikan tugu peringatan mangsa yang memaparkan patung orang ramai menjulang simbol bulan sabit dan bintang pada bendera Turki.
Sejumlah 249 orang, tidak termasuk perancang rampasan kuasa, maut apabila kumpulan pembelot dalam tentera mengerah kereta kebal ke jalanan dan jet pejuang di udara dalam cubaan menggulingkan Erdogan yang sudah satu setengah dekad berkuasa.
Namun tindakan mereka dipatahkan dalam tempoh beberapa jam apabila pihak berkuasa berkumpul semula dan rakyat membanjiri jalanan bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Erdogan, yang menyalahkan pengikut bekas sekutu yang bertukar menjadi seteru ketatnya, pendakwah Fethullah Gulen yang berpangkalan di AS.
“Adakah rakyat saya membawa senjata?
“Mereka membawa bendera seperti hari ini tetapi mereka memiliki senjata yang lebih efisien iaitu kepercayaan mereka,” tegas Erdogan di Istanbul.
“Sekiranya kejadian seperti itu berulang, saya akan keluar sekali lagi.
“Malam itu bagaikan perang, tetapi kami yang memiliki negara dan rakyat ini,” kata Murat, salah seorang penyokong Erdogan yang menghadiri rali Ankara.
Selepas mematahkan cubaan rampasan kuasa itu, pihak berkuasa melancarkan pembersihan terbesar dalam sejarah Turki dengan menahan 50,000 suspek dan memecat hampir 150,000 penjawat awam.
Erdogan juga mengukuhkan sokongan terhadapnya dengan memenangi referendum mengenai peningkatan kuasa presiden awal tahun ini.
Dalam pemecatan terbaharu, 7,563 lagi anggota polis, askar dan penjawat awam lain dibuang kerja pada Jumaat lalu di bawah perintah darurat yang dilaksanakan sejak 20 Julai, 2016.
Skala sambutan seluruh negara kelmarin bertujuan memahat 15 Julai, 2016 dalam minda rakyat Turki sebagai tarikh utama dalam sejarah negara moden itu.
Poster gergasi yang direka pemerintahan presiden dipaparkan pada papan iklan di Istanbul dan Ankara menunjukkan lukisan yang menggambarkan kejadian utama pada malam bersejarah itu dengan slogan ‘15 Julai yang epik’.
Slogan antirampasan kuasa bergemerlapan digantung antara menara masjid-masjid era Othmaniah paling indah di Turki.
Selain itu, pengguna telefon bimbit terkejut mendengar mesej suara daripada Erdogan sendiri apabila membuat panggilan, di mana beliau mengucapkan tahniah kepada mereka kerana telah mengalahkan rampasan kuasa tersebut. — AFP