Berhemah, jangan khianati parti
Peringatan Anifah kepada ahli Umno semua peringkat dalam berhadapan PRU-14
MEMBAKUT: Semua ahli Umno diingatkan supaya terus memperkukuh kesatuan sambil menghayati makna perjuangan untuk masa depan, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa.
Ketika memberi peringatan itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengajak ahli Umno supaya menjaga parti dengan berkempen secara berhemah apabila berhadapan PRU14 nanti, termasuk tidak melakukan serangan peribadi.
Beliau juga mengingatkan ahli Umno supaya jangan mengkhianati parti demi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno kekal menerajui pemerintahan.
“Kita mesti ikhlas untuk memenangkan calon-calon BN kelak. Kita kena ingat bahawa perjuangan kita bukan untuk hari ini saja, tapi untuk masa depan generasi kita,” katanya berucap merasmikan persidangan tahunan Pergerakan Puteri Umno Kimanis di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Kimanis Datuk Ariffin Arif; Adun Bongawan merangkap Naib Ketua Umno Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Hj Alamin; KetuaPuteriUmnoBahagian Kimanis Saudah Sarzaman; dan Ketua Puteri Umno Sipitang Suzie Hamat selaku wakil Puteri Umno Negeri Sabah.
Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis dan Ketua Umno Bahagian Kimanis berkata kempen secara berhemah penting dipraktikkan bagi menjaga imej dan nama baik parti yang ikhlas berjuang untuk rakyat.
Katanya, budaya menyerang dan memburukburukkan peribadi seseorang adalah amalan pembangkang dan ia tidak harus menjadi ikutan ahli Umno.
Pada masa sama, katanya, perjuangan parti hendaklah diutamakan dan jangan dikhianati sama sekali.
Beliau berkata ahli parti yang terikut-ikut rentak pembangkang sehingga lupa matlamat perjuangan Umno menunjukkan mereka hanya mementingkan perjuangan peribadi dan bukan parti.
“Ahli parti harus ikhlas dan taat setia terhadap parti supaya Umno kekal relevan. Ini termasuklah menghayati lirik-lirik lagu perjuangan parti kita,” katanya sambil menegaskan parti hendaklah diletakkan mengatasi kepentingan diri.
Menurutnya, ketaatsetiaan dalam perjuangan dapat memastikan agenda perjuangan membela rakyat diteruskan, justeru berharap Jalinan Rakyat (JR) Umno memainkan peranan penting mendekati akar-umbi.
Katanya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan serta kebajikan rakyat, dan sebab itu program dialog Trasnformasi Nasional (TN) 2050 dilaksanakan untuk mendapatkan maklum balas daripada akar-umbi.
“Kalau dahulu pendekatannya dari atas ke bawah, tapi kini pimpinan kerajaaan kita mendengar denyut nadi rakyat dari bawah ke atas menerusi TN50,” katanya.
Kita mesti ikhlas untuk memenangkan calon-calon BN kelak. Kita kena ingat bahawa perjuangan kita bukan untuk hari ini saja, tapi untuk masa depan generasi kita. DATUK SERI ANIFAH AMAN Menteri Luar