Kerjasama PIBG, sekolah tingkat pencapaian pelajar
LAHAD DATU: Kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar di sesebuah sekolah.
Ketua Wanita Umno Bahagian Silam Mizma Appedullah berkata PIBG yang mewakili suara ibu bapa turut mempunyai peranan sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Melalui PIBG banyak program serta aktiviti boleh disusun bagi mengatasi kekurangan yang ada termasuk memohon kemudahan asas yang masih diperlukan pihak sekolah.
“Sekolah tentunya bertuah kerana memiliki kepimpinan PIBG yang dapat berganding bahu setiap masa serta bersedia untuk menjalankan aktiviti termasuk mengumpul dana,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Raya warga SMK Terusan di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi PIBG SMK Terusan Matlin A Mutalib, guru-guru, ibu bapa dan pelajar.
Mizma berkata warga pendidik terutama guru di sekolah kebangsaan punyai peluangluasbagimenggerakkan hala tuju sistem pendidikan negara lebih inovatif dalam aspek alat bantuan mengajar.
Jelasnya guru-guru yang mengajar di bandar berdepan cabaran berbeza serta perlu bijak mengambil peluang yang lebih kreatif dan berinovasi dalam pengajaran di sekolah.
Katanya, hasrat kerajaan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan langkah ke hadapan yang tepat untuk mendepani keadaan dan pembangunan sosial negara yang begitu dekat dengan dunia pendidikan.
“Hal ini disebabkan generasi era kini datangnya daripada murid-murid yang berada di bangku sekolah sekarang yang akan mencorak negara tahun 2050,” katanya.
Pada majlis itu, Mizma menyampaikan anugerah Guru Terbaik dan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta penyampaian Wang Bantuan Awal Persekolahan RM100.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada Tabung Pendidikan Anak-anak Silam Pergerakan Wanita Umno Silam kepada SMK Terusan.