Aidilfitri eratkan pelajar, guru dan ibu bapa SM Sains Labuan
LABUAN: Majlis Hari Raya Aidilfitri telah mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Sains Labuan.
Malah program tahunan yang dikendalikan pelajar Tingkatan Empat itu turut memberi ruang dan peluang kepada guru khususnya warden asrama untuk beramah mesra dengan ibu bapa dan penjaga pelajar.
Penolong Kanan Pentadbiran Rohana Yassin berkata menerusi program itu, pelajar akan turut bermaaf-maafan dengan guru dan ibu bapa.
“Inilah masa yang sesuai untuk ibu bapa beramah mesra dengan guru-guru khususnya warden sekaligus mengetahui sendiri keadaan kehidupan anak mereka di asrama putera dan puteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat SM Sains Labuan yang diadakan di pekarangan asrama sekolah itu pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan Asbola Amit, Yang Dipertua PIBG Zulkifli Zakaria, Pegawai Angkat SM Sains Labuan Sahbudin Ag Muhammad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Mohd Siddiq Abdullah dan Penolong Kanan Kokurikulum Zakiah Mohd Isa.
Pada majlis itu, Alumni SM Sains Labuan yang diwakili Suhaili Dikar menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu menjayakan Hari Terbuka dan Majlis Aidilfitri kepada Penolong Kanan HEM Mohd Siddiq Abdullah.
Rohana mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi datang menjayakan program berkenaan.
Pelbagai aktiviti diadakan untuk merapatkan lagi hubungan antara pelajar sekolah berasrama penuh itu.