Rezeki kraftangan daripada hasil hutan
Empat wanita sertai Program Kraft Eksotika, berpeluang promosi hasil produk
EMPAT wanita Dusun menempuh perjalanan jauh dari Keningau ke Sandakan untuk menyertai Program Kraft Eksotika di perkarangan pintu masuk Rumah Agnes Keith di sini sempena Festival Sandakan 2017.
Selama seminggu menyertai program itu, mereka diberi peluang untuk memperkenal dan mempromosi kraftangan sekaligus menambah pendapatan hasil daripada jualan produk kraftangan.
Tiga beradik iaitu Suinih Assim, 47, Mungkim Assim, 54, dan Sunah Assim, 57, serta rakan mereka, Ankim Bundal, 70-an, berketurunan suku Dusun Keningau yang datang dari Kampung Sinuah, Trusmadi di Keningau. Bercakap kepada Utusan
Borneo, Mungkim berkata mereka telah dipelawa oleh Jabatan Muzium Sabah untuk mengikuti program berkenaan yang dianjurkan pada setiap tahun.
Bagi beliau, program seumpama itu amat membantu pembuat kraf kecil-kecilan seperti mereka untuk mempromosi hasil kraftangan dan dalam masa yang sama mencari pendapatan sampingan dengan menjual produk kraftangan yang dihasilkan.
“Kebanyakan produk dijual menerusi ekspo atau pameran kraftangan yang kami sertai. Selain daripada itu, anak-anak juga membantu mempromosi hasil kraftangan melalui media sosial seperti Facebook.
“Dari situ, kami akan pos produk ditempah menggunakan perkhidmatan pos selepas pelanggan membuat bayaran. Setakat ini, pelanggan kami datang dari sekitar Sabah dan kami amat mengalu-alukan sekiranya ada pelanggan dari Semenanjung atau Sarawak yang ingin menempah hasil kraftangan kami,” katanya.
Tinjauan Utusan Borneo di booth pameran dan jualan mereka juga mendapati masyarakat setempat terutama dari Semenanjung amat tertarik dengan produk kraftangan seperti bakul, pasu dan perhiasan rumah yang dihasilkan menggunakan sumber hutan.
Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dan bergantung kepada saiz serta corak anyaman pada produk yang dihasilkan.
Menurut Mungkim, kraftangan mereka dihasilkan dengan menggunakan hasil hutan seperti rotan, bambu, batang lias dan daun selingkawang. Kebiasaannya, mereka akan masuk ke hutan selama sehari secara berkumpulan untuk mencari hasil hutan sebelum diproses untuk menghasilkan produk kraf. hingga 3 biji.
“Dan, ia juga bergantung dengan corak. Kalau anyaman ringkas, lebih banyak produk boleh dihasilkan dan kalau anyaman rumit, kita hanya boleh hasilkan dalam kuantiti sedikit,” katanya yang mulai mempelajari sendiri hasil seni kraftangan sejak tiga tahun lalu.
Program Kraft Eksotika diadakan sebagai membantu mempromosi hasil kraftangan daripada suku kaum yang terdapat di negeri ini. Program itu diadakan serentak dengan Sambutan Hari Agnes Keith yang diadakan di Sandakan baru-baru ini.
Program yang diadakan setiap tahun itu bukan sahaja menjadi wadah penting dalam memperagakan kekayaan hasil kerja tangan masyarakat Sabah, tetapi ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mendekati warisan kraf yang sudah jarang sekali dihasilkan.
Dengan pendedahan seumpama itu dan keupayaan pendidikan mereka, ia sudah pasti dapat menyemai rasa minat dalam kalangan anak-anak muda untuk menceburkan diri dalam penghasilan kraf yang berinovasi dan dapat dipasarkan kepada pelancong.
“Kesemua
produk kraf dibuat dengan hasil hutan yang asli. Seperti contoh kalau membuat bakul, bahagian bawah kita gunakan rotan manakala tangkai pemegang pula menggunakan daun selingkawang. Rotan dan selingkawang ini akan diraut dahulu sebelum dianyam.