Adventure With Me tawan Gangar Kibambangan Trail
PENAMPANG: Sekumpulan 18 orang yang berkongsi hobi serta minat sama dalam aktiviti lasak telah berjaya menawan Gangar Kibambangan Trail untuk kali yang keempat, baru-baru ini.
‘Adventure With Me’ yang diketuai Angie Anthony memulakan perjalanan sejauh 15km seawal jam 8 pagi dan tiba di destinasi pada jam 1 tengah hari.
Kumpulan yang aktif melakukan aktiviti luar dan mencabar ini telah merentasi sembilan anak sungai dan dua air terjun sebelum menawan dua puncak iaitu Bukit Buddu dan Bukit Loggong.
“Laluan 15km itu bukan setakat mencabar fizikal, tetapi juga mental setiap anggota kumpulan,” kata Angie.
“AdventureWithMemahu memperkenalkan laluan pendakian yang mencabar seperti ini supaya orang lain boleh berkongsi pengalaman yang sama. Pemandangan sepanjang laluan juga sangat menakjubkan.”
Gangar Kibambangan Trail yang terletak di Kampung Kibambangan, Penampang menjanjikan pengalaman yang cukup menarik bagi peminat aktiviti ‘hiking’.
Adventure With Me merupakan kumpulan amatur terdiri daripada beberapa anggota pelbagai latar belakang dan bangsa yang menyukai sukan lasak dan aktiviti luar terutamanya ‘hiking’.
Kumpulan lasak yang ditubuhkan pada lewat 2016 ini mahu menarik minat semua orang supaya terlibat dalam aktiviti luar yang mencabar sebagai visi mereka, selain meletakkan misi untuk menakhluk semua puncak di Sabah.
Gangar Kibambangan Trail telah dibuka kepada peminat ‘hiking’ pada Disember 2016, hasil usaha para belia Kampung Kibambangan yang diketuai oleh Marius Buankut.
“Kumpulan yang ingin mencabar Gangar Kibambangan Trail akan diiringi oleh penunjuk arah atau ‘guide’ yang sentiasa bersedia membantu sepanjang perjalanan,” kata Marius.