Ahli Umno jangan amal sikap ‘batu api’
BONGAWAN : Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli Umno supaya tidak mengamalkan sikap ‘batu api’ terhadap pemimpin sehingga menimbulkan rasa kebencian yang melampau.
Sebaliknya kata beliau, ahli Umno harus meletakkan fokus terhadap usaha untuk mengukuhkan lagi parti agar Umno dapat meneruskan khidmat kepada rakyat di negara ini.
“Saya tidak mahu mana-mana Umno Bahagian di Sabah sibuk ‘batu api’. Jangan percik api-api yang akan membawa kepada kebencian.
“Jika ada permasalahan dalaman selesaikan dengan sebaiknya sebelum ‘gendang’ Pilihan Raya Umum (PRU) dipalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Zon 3 (Papar, Kimanis, Beaufort) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan.
Hadir sama, Naib Ketua Wanita Umno Malaysia Datuk Azizah Mohd Dun, Ketua Bahagian Umno Papar Datuk Seri Panglima Rahim Ismail, Ketua Bahagian Umno Kimanis Datuk Seri Panglima Anifah Aman dan Ketua Bahagian Umno Beaufort Datuk Isnin Aliasneh
Di samping itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut meminta agar ahli Umno untuk setia sepenuhnya kepada parti dan bukan sebaliknya.
Jelasnya ahli Umno jangan terikut-ikut dengan sikap bekas pemimpin Umno yang tidak mempunyai pendirian tetap semata-mata kecewa dengan kepimpinan parti.
“Jangan jadi macam seorang itu, semalam cakap lain dan hari ini cakap lain. Pagi cakap lain, tengah hari cakap lain, petang cakap lain lagi pula,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.