Pegawai Thailand ke Malaysia untuk siasat syarikat tempatan
BANGKOK: Para pegawai daripada empat agensi penguatkuasaan undangundang Thailand akan berada di Malaysia selama dua hari, bermula esok, untuk menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat tempatan yang didakwa menjadi “sindiket jenayah antarabangsa” di Thailand.
Para pegawai berkenaanakan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang syarikat itu, yang menjalankan perniagaan di kedua-dua negara.
“Sebaik sahaja pulang dari Malaysia, empat agensi berkenaan akan memulakan prosiding perundangan terhadap syarikat Malaysia itu,” kata satu sumber peringkat tinggi yang enggan mendedahkan identitinya kepada Bernama susulan satu pertemuan di Pejabat Peguam Negara di sini baru-baru ini.
Perjumpaan selama kirakira sejam setengah minggu lepas itu melibatkan pegawai kanan daripada pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.
Empat agensi penguatkuasaan undang-undang yang akan ke Malaysia itu ialah Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB), Pejabat Antipengubahan Wang Haram (AMLO), Biro Pencegahan Narkotik (NSB) dan Jabatan Siasatan Khas (DSI).
Syarikat dari Pulau Pinang yang menjalankan perniagaan di Malaysia dan Thailand itu, terutama di wilayah selatan negara ini, sedang dikenakan penyiasatan rapi oleh pihak berkuasa daripada keduadua negara kerana aktiviti perniagaannya yang mencurigakan.
Dalam tempoh beberapa bulan lepas, pihak berkuasa Malaysia menyerbu premis syarikat itu serta membekukan akaun bank yang mempunyai kaitan dengannya.
Menurut sumber berkenaan, Pejabat Peguam Negara, DSI dan AMLO dijangka mengambil tindakan pertama dengan mengenakan pertuduhan tehadap syarikat terbabit.
“Pertuduhan DSI akan bertumpu pada aktiviti perniagaan syarikat berkenaan, manakala AMLO tentang pengubahan wang haram. Pejabat Peguam Negara pula dijangka mengenakan pertuduhan berkaitan ‘penglibatannya dengan sindiket jenayah rentas sempadan,” katanya.
Agensi lain yang turut menyiasat syarikat itu seperti ONCB, NSB , Jabatan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Hasil, Jabatan Kastam dan Bank of Thailand (BoT), akan meneruskan siasatan masing-masing.
“Mana-mana agensi yang sudah selesai melakukan siasatan, bolehlah memulakan prosiding undang-undang,” kata sumber itu. - Bernama