Perunding Lubnan mati dalam pertempuran di sempadan Syria
BEIRUT: Seorang perunding Lubnan dibunuh kelmarin pada hari kedua pertempuran di antara kumpulan Hizbullah yang berkuasa dan militan berhampiran sempadan dengan Syria, menurut agensi berita rasmi.
“Ahmad al-Fliti, yang berunding di antara pejuang dan Hezbollah, tercedera ketika keretanya terkena serangan daripada sumber yang tidak diketahui di Jurud Arsal,” menurut ANI.
“Beliau kemudian mati akibat kecederaannya.”
Pihak tentera Lubnan menyatakan Fliti terbunuh dalam serangan organisasi pengganas Barisan Al-Nusra, merujuk kepada bekas cawangan Al-Qaeda Syria.
Pada Jumaat, Hizbullah menyatakan pejuangnya telah memulakan operasi terhadap militan di sempadan negara dengan Syria.
Kelmarin, Hezbollah telah mengumumkan beberapa aktiviti di kawasan sempadan pergunungan Jurud Arsal.
Pengebumian diadakan kelmarin bagi 11 pejuang Hizbullah yang terbunuh dalam pertempuran, sembilan di Beirut dan dua di Baalbek.
Pihak tentera Lubnan tidak mengumumkan secara rasmi penyertaannya dalam serangan, namun menyatakan pada Jumaat ia telah menyasarkan pengganas di situ.
Beribu-ribu pelarian Syria tinggal di dalam kem tidak rasmi di Jurud Arsal selepas melarikan diri daripada perang enam tahun di negara asal mereka.
Lebih sejuta pelarian memenuhi Lubnan sejak konflik Syria meletus susulan bantahan Mac 2011. — AFP