Utusan Borneo (Sabah)

Geng curi kenderaan tumpas dalam Op Lejang

-

KUANTAN: Polis menumpaska­n satu kumpulan curi kenderaan dengan penahanan empat lelaki dan merampas 11 lori tiga tan serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam Op Lejang khas yang dijalankan selama hampir tiga minggu bermula 7 Julai lepas di sekitar negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Othman Nayan berkata keempatemp­at lelaki berkenaan yang berusia antara 33 dan 42 tahun itu merupakan warga tempatan dan dipercayai aktif dengan kegiatan curi kenderaan sejak awal tahun ini.

“Hasil rampasan dianggar bernilai lebih RM300,000 dan siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu dicuri di kawasan Wangsa Maju dan Setapak di Kuala Lumpur, Jinjang dekat Selangor, Bera serta Mentakab, Pahang.

“Kenderaan itu kemudianny­a dipercayai dijual dengan harga yang murah kepada pembeli yang tinggal di kawasan Felda sekitar daerah Temerloh, Bentong, Raub dan Pekan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang, di sini pada Rabu.

Othman berkata pihaknya kini sedang menjalanka­n siasatan lanjut sama ada suspek menjual sendiri semua kenderaan yang dicuri atau turut melibatkan orang tengah.

“Polis ingin menasihatk­an kepada orang ramai agar tidak membeli kenderaan yang dicuri kerana mereka boleh didakwa bersubahat...apabila terdapat permintaan, kes kecurian ini akan berulang,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia