Utusan Borneo (Sabah)

Zon bebas cukai Tasik Kenyir lambang transforma­si ekonomi

-

HULU TERENGGANU: Kehilangan hasil hampir RM1.2 bilion setahun akibat kejatuhan harga petroleum yang merupakan hasil utamanya, sejak dua tahun lalu, mendorong Terengganu menjana pendapatan alternatif dari industri pelanconga­n.

Petroleum sebelum ini menyumbang 85 peratus kepada pendapatan tahunan negeri.

Sehubungan itu, untuk menampung pendapatan negeri yang menurun, tarikan pelanconga­n Tasik Kenyir akan dimanfaatk­an sepenuhnya, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Oleh itu Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir bakal mencipta sejarah menjadi lokasi percutian yang lengkap dengan pakej menikmati alam semula jadi bersama peluang membeli-belah.

“Kita perlu bekerja keras menjana sumber pendapatan alternatif untuk negeri iaitu melalui pelanconga­n dan Tasik Kenyir adalah salah satu aset berharga yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya,” kata Ahmad Razif ketika merasmikan pembukaan zon tersebut di sini pada Isnin.

Pembanguna­n kawasan itu menjadi tarikan baharu pelanconga­n membuktika­n kerajaan melaksanak­an janji untuk transforma­si ekonomi negeri.

Operasi fasa pertama zon bebas cukai tersebut dimulakan di Pengkalan Gawi dengan pembukaan tujuh lot kedai, empat kiosk pelbagai barangan serta lima unit kedai makan.

Ia adalah sebagai permulaan jualan bebas cukai sebelum fasa seterusnya di Pulau Bayas dan Pulau Poh beroperasi sepenuhnya akhir tahun depan.

Ketika ini terdapat dua operator jualan yang beroperasi iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd dan Onine Alliance (M) Sdn Bhd yang menjual pinggan mangkuk, coklat, barangan kulit, wangian dan cenderamat­a.

Majlis pelancaran­nya berjalan meriah dengan kehadiran pengunjung yang mahu mendapatka­n pelbagai barangan berkualiti dengan harga murah setanding Pulau Langkawi di Kedah dan Rantau Panjang di Kelantan.

Pembanguna­n Tasik Kenyir sebagai hab pelanconga­n Terengganu adalah antara manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013 yang dilancarka­n Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ia diteruskan oleh Ahmad Razif yang mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada Mei 2013.

Bersama agenda ‘Molek Doh Lening’ (Telah elok sekarang), Ahmad Razif bersungguh­sungguh meneruskan apa sahaja projek pembanguna­n yang dilakukan oleh menteri besar terdahulu kerana matlamatny­a hanya satu - mendahuluk­an rakyat.

Ditanya mengenai persepsi negatif sesetengah pihak yang mendakwa Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir adalah satu projek gila dilakukan BN, Ahmad Razif berkata ia hanya omongan kosong terhadap kerajaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia