Utusan Borneo (Sabah)

KBS bantu pembinaan litar permotoran antarabang­sa Labuan

-

LABUAN: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) akan membantu mempercepa­tkan pelaksanaa­n projek litar sukan permotoran antarabang­sa Labuan (LIMC) yang bernilai RM7 juta.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata projek itu telah menerima lampu hijau daripada kementeria­nnya untuk diteruskan.

Katanya, RM3 juta untuk fasa pertama telah diluluskan pelaksanaa­nnya oleh Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n dan bakinya daripada KBS.

Khairy berkata, memandangk­an ia perlu melalui KBS, beliau kini memberi lampu hijau untuk projek litar permotoran Labuan itu diteruskan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidanga­n Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Labuan, di Palm Beach Resort, Batu Manikar, pada Sabtu.

Projek dua fasa yang dicadangka­n di atas tapak seluas dua hektar di Kiamsam sejak lima tahun lalu itu dijadualka­n bermula tahun ini dan dijangka siap tahun depan.

Khairy berkata, litar itu akan membantu pulau ini menjadi padang permainan golongan kaya dari Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menyertai sukan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yakin Wilayah Persekutua­n Labuan akan menjadi tumpuan penggemar sukan permotoran apabila litar tersebut siap kelak.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata fasa dua melibatkan peruntukan RM4 juta bagi pembinaan trek untuk pit perlumbaan, go-kart, grand prix mini, motosikal berkuasa tinggi, pocket bike dan supermoto.

Mohd Rafi berkata, litar itu terletak secara strategik dan dekat dengan hab halal Labuan.

“Beberapa projek lain turut dirancang di kawasan berhampira­n termasuk untuk sukan ekstrem motocross,”katanya.

Oleh itu katanya, Pemuda Umno Bahagian Labuan akan mencadangk­an agar kawasan Kiamsam diwartakan sebagai hab sukan permotoran tidak lama lagi.

Mohd Rafi yakin dengan adanya litar permotoran tersebut, ekonomi dan industri pelanconga­n Labuan akan kembali meningkat sekaligus menambah pendapatan warga tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Khairy mendengar taklimat pembinaan litar tersebut di stesen minyak Petronas, Jalan Durian Tunjong.

Terdahulu, Khairy bersama kepimpinan Umno Labuan menghadiri program mengisi minyak secara percuma bagi bulan Julai anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) Labuan.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Azhar Ahmad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mohd Hazan Dahari.

 ??  ?? KHAIRY (kiri) melihat model litar permotoran yang akan dibina di Kiamsam Labuan. Turut kelihatan Rozman (empat kanan), Bashir (lima kanan) dan Mohd Rafi (kanan).
KHAIRY (kiri) melihat model litar permotoran yang akan dibina di Kiamsam Labuan. Turut kelihatan Rozman (empat kanan), Bashir (lima kanan) dan Mohd Rafi (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia