Siasat dahulu kesahihan dakwaan penyeludupan gading gajah, Masidi
KOTA KINABALU: Dakwaan berkaitan kes penyeludupan gading gajah borneo seberat 2.7 kilogram oleh seorang pekerja warga asing di negeri ini perlu disiasat terlebih dahulu kesahihannya sebelum mengeluarkan sebarang tindakan susulan.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kenyataan oleh salah satu portal berita itu seharusnya tidak boleh dipercayai seratus peratus memandangkan sampel sama ada gading gajah itu berasal dari Sabah atau sebaliknya belum diketahui secara jelas.
“Kita bukan mengatakan kenyataan dari warga negara jiran itu tidak betul, tapi kita perlu pastikan terlebih dahulu dengan membuat kajian sampel DNA sama ada gading gajah ini dari Sabah atau tempat lain.
“Dengan cara ini sahaja yang kita boleh pastikan sama ada gading gajah itu diseludup atau tidak sebelum kita mengeluarkan sebarang keputusan atau tindakan,” katanya pada Sidang Media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berkenaan dakwaan kes penyeludupan gading gajah yang dipercayai berlaku di sempadan Kalimantan utara Sabah di Nunukan.
Jelas Masidi, sekiranya kes itu didapati benar, pihak berkuasa perlu melipatganda usaha meningkatkan kawalan terutamanya di kawasan laluan tikus bagi membendung berlakunya kejadian yang sama berlaku.
“Kita juga cukup sedih jika didapati ada penduduk negeri ini yang terlibat sama dalam membunuh binatang yang dilindungi ini untuk sajian makanan atau sebaliknya.
“Jika insiden ini berulang, ia akan mengakibatkan kepupusan terhadap spesis yang terancam ini dan generasi akan datang tidak akan dapat melihatnya,” katanya.
Pada masa sama Masidi yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan berkata, Sabah menjadi tuan rumah sekali lagi dan perayaan itu akan diadakan di Kompleks Sukan Likas pada 16 September ini.
Katanya, pelbagai pengisian akan diadakan pada sambutan kali ini yang melibatkan seramai lebih 1500 peserta yang akan menyajikan persembahan.
“Sambutan kali ini ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan kita menggunakan semula tema sebelum ini iaitu ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.
“Kita jangka seramai lebih 10,000 pengunjung akan hadir pada sambutan kali ini yang dihadiri oleh tetamu khas iaitu Yang Dipertua Negeri bersama Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta beberapa tetamu kehormat yang lain,” jelasnya.
Selain itu Masidi berkata, pihak penganjur akan memastikan setiap pengisian sepanjang sambutan dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi menyuburkan semangat kekitaan dalam jiwa rakyat Malaysia.