Utusan Borneo (Sabah)

Teruja tawaran e-Kasih, nenek ditipu RM1,530

-

SARIKEI: Teruja dengan tawaran mendapat bantuan e-Kasih, seorang wanita warga emas mengalami kerugian sekitar RM1,530 setelah dipercayai menjadi mangsa tipu kepada dua lelaki dan seorang wanita pada Rabu.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, mangsa yang berusia 60 tahun dari Sungai Selidap, Sarikei telah didatangi dua lelaki dan seorang wanita di terminal bas di Jalan Wharf.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superinten­den Mat Jusoh Mohamad berkata, pada masa tersebut, dua lelaki dan wanita itu telah memberi tawaran bantuan kepada mangsa untuk mendaftar e-Kasih.

“Kemudian, mangsa dikehendak­i mengikut mereka dengan menaiki sebuah kereta ke pejabat kerajaan di Wisma Jubli Mutiara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini pada Khamis.

Jelasnya, ketika dalam perjalanan, mangsa diminta menanggalk­an barangan peribadi dan ditinggalk­an di dalam kereta. Setelah tiba di bangunan Wisma Jubli Mutiara, mangsa diarah turun untuk urusan selanjutny­a.

“Mangsa telah menuruti arahan mereka dan sebaik sahaja selesai berurusan mangsa telah pergi semula ke tempat letak kereta dan mendapati kereta dinaikinya bersama dua lelaki dan seorang wanita telah hilang,” katanya.

Akibat kejadian tersebut, mangsa mendakwa kehilangan seutas rantai leher, sebentuk cincin, cek Bank Simpan Nasional (BSN) bernilai RM600, kad ATM BSN dan wang tunai berjumlah RM30.

Menurut Mat Jusoh, ketika ditemubual polis, mangsa turut mendakwa tidak mengenali dan mengecam dua lelaki dan wanita terbabit.

“Siasatan terhadap kes ini sedang dijalankan dan kami berusaha menjejaki suspek yang dipercayai terlibat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia