Jabatan Hidupan Liar perkasa aktiviti kesedaran
SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah di sini terus memperkasa aktiviti kesedaran dan penguatkuasaan hidupan liar dan spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Pegawainya Hussein Muin berkata, jabatan itu juga komited memantapkan pelbagai usaha bagi membanteras aktiviti penjualan dan pembelian telur penyu.
“Dalam memastikan dan mencapai keberkesanan usaha ini, kita juga mempertingkat aktiviti penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa berkaitan. Antaranya Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin serta Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Membanteras Penjualan Telur Penyu bersama agensi berkaitan di pejabat Jabatan Hidupan Liar Sandakan, di sini pada Jumaat.
Baru-baruini,Mahkamah Sesyen Sandakan juga telah menjatuhi hukuman penjara dan denda terhadap seorang lelaki warga asing yang mengaku memiliki 3,000 telur penyu dari spesies penyu hijau.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, ia juga menjadi komitmen jabatan itu bersama agensi penguatkuasa yang lain untuk terus membanteras kegiatan itu secara berterusan.
Dalam pada itu katanya, orang ramai juga berperanan menjadi mata dan telinga kepada agensi penguatkuasa bagi menyalurkan aktiviti penjualan telur penyu atau hal berkaitan.
Pada mesyuarat itu, pengamal media sekitar Sandakan turut menerima sijil penghargaan dalam sama-sama menjayakan aktiviti penguatkuasaan pemuliharaan hidupan liar 1997.