Najib garis empat prinsip
Untuk capai pembangunan modal insan secara holistik
KUANTAN:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat dimensi dan prinsip untuk mencapai pembangunan modal insan secara holistik bagi menjamin perkembangan ekonomi mampan di negara ini.
Beliau berkata prinsip pertama adalah memastikan seramai mungkin rakyat mempunyai tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi bagi membolehkan mereka memenuhi kehendak industri dan sektor pekerjaan di negara ini.
Yangkedua,katanyakerajaan mahu melihat pendapatan rakyat terus bertambah dengan meningkatkan kemahiran sedia ada kerana mereka yang berkemahiran tinggi akan menjana pendapatan lebih baik berbanding pekerja biasa.
“Jika hendak dibandingkan pendapatan seorang pekerja mahir dengan pekerja separa mahir sudah tentu pendapatan pekerja mahir lebih tinggi, begitu juga pendapatan seorang doktor biasa dengan doktor pakar tentu doktor pakar lebih tinggi.
“Jadi sebagai sebuah kerajaan kita mahukan pendapatan rakyat terus meningkat dengan meminta mereka menambah kemahiran sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Cawangan Pahang di Indera Mahkota, di sini, pada Sabtu.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman merangkap Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.
Selain itu, Najib berkata kerajaan turut memberi peluang sama rata kepada masyarakat bandar atau luar bandar, kaya atau miskin, atau mana-mana kumpulan etnik untuk meningkatkan tahap sosial ekonomi mereka.
“Sekiranya mereka ada kehendak untuk mencapai kejayaan, kerajaan patut sediakan peluang dan satusatunya kekangan adalah sama ada anda mempunyai cita-cita atau usaha untuk berjaya,” katanya.
Menurut Najib, prinsip terakhir pula memastikan generasi murid dan pelajar pada masa kini bersedia dengan kemahiran untuk mengisi jawatan atau pekerjaan pada masa depan, yang masih belum wujud pada masa kini seperti teknologi robotik dan teknologi nano. -Bernama
Jadi sebagai sebuah kerajaan kita mahukan pendapatan rakyat terus meningkat dengan meminta mereka menambah kemahiran sedia ada. DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK Perdana Menteri