Skandal telur beracun cemaskan Eropah
BERLIN: Gergasi pasar raya diskaun Aldi kelmarin menarik balik semua telur dari Belanda yang dijual di Jerman berikutan skandal racun serangga yang telah merebak ke kedai makanan di seluruh Eropah.
Aldi berkata, langkah tersebut dibuat sebagai usaha berjaga-jaga tetapi tidak menafikan akan berlaku kekurangan telur di pasaran ekonomi utama Eropah itu.
Pihak berkuasa di Belgium, Switzerland dan Sweden juga menjejaki penghantaran dan menarik balik telur tatkala impak skandal tersebut merebak.
Aldi menarik balik kesemua telur dari Belanda selepas didapati sekurang-kurangnya tiga juta telur yang dicemari racun serangga berbahaya telah dihantar ke Jerman dan dijual.
Bagaimanapun menteri pertanian wilayah Christian Meyer dari Lower Saxony, memberitahu televisyen awam ZDF bahawa dipercayai 10 juta telur tercemar mungkin telah tiba di Jerman.
Pihak berkuasa mengesyaki bahan ‘fipronil’ yang diperkenal kepada ladang unggas oleh syarikat Belanda Chickfriend telah dibawa masuk untuk merawat kutu merah, sejenis parasit yang amat menjejaskan ayam.
Dalam kuantiti besar, racun serangga itu sederhana berbahaya tetapi boleh menjejaskan teruk buah pinggang, hati dan kelenjar tiroid manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Di Belgium, pasar raya Colruyt berkata, ia telah menarik balik telur daripada dua pembekal pada Julai yang mana ladang mereka disyaki pemantau keselamatan sebagai dicemari racun itu.
Agensi keselamatan makanan negara (AFSCA) berkata ia telah merampas telur sebelum ia sempat dijual dan mengerahkan ejen luar untuk mengesahkan sama ada langkah sewajarnya telah diaplikasikan di ladang unggas.
Telur turut ditarik balik dari pasaran di Switzerland, tetapi pihak berkuasa yang meluluskan penarikan balik produk itu menggesa orang ramai untuk tidak panik.
“Kuantiti yang dilihat setakat ini tidak membahayakan kesihatan pengguna,” kata Lembaga Keselamatan Makanan Swiss (OSAV).
Agensi keselamatan makanan Sweden berkata, satu kelompok telur tercemar telah dihantar kepada satu pemborong kecil.
Suruhanjaya Eropah (EC) memantau rapi kes tersebut memandangkan isu keselamatan awam menjadi pertaruhan, kata jurucakapnya Anna-Kaisa Itkonen.
Dengan kerugian dijangka jutaan euro, penternak unggas Belanda menerima satu lagi tamparan selepas 190,000 itik dibunuh pada November tahun lepas berikutan wabak selesema burung.
Marieke van der Molen, jurucakap pejabat pendakwa raya awam Belanda, menjelaskan bahawa kertas siasatan jenayah telah dibuka bagi menentukan punca pencemaran itu.