Dunia Persaraan
B
ELUM sempat pun Pengiran Omar memanaskan kerusi usang dan berkarat di taman itu, Salim lantas menarik tangan sahabatnya itu perlahan-lahan untuk meneruskan perjalanan.
"Jangan dulu berhenti..ayuh, teruskan. Baru sepuluh minit, peluh pun belum keluar lagi," ujar Salim memberi galakan pada Pengiran Omar sahabat baiknya yang sudah mula keletihan dan tercungapcungap.
Pengiran Omar yang tubuhnya berisi sedikit berbanding Salim yang agak kurus meninggi, lantas berdiri sambil memusing-musingkan badannya ke kiri dan ke kanan dengan berhati-hati, membetulkan urat-urat sendi belakangnya yang semakin lemah kerana faktor usia, berbunyi urat-urat sendinya dibuat begitu sebelum mereka meneruskan langkah selanjutnya. Salim tersenyum melihat sahabatnya itu yang nampak benar keletihan sambil mengelap-ngelap mukanya dengan tuala putih kecil walaupun belum berpeluh sangat.
Salim sedia maklum, sahabatnya itu agak terganggu kehidupan hariannya kerana mengidap penyakit tekanan darah tinggi sejak tiga tahun lalu. Namun masih dalam keadaan terkawal dengan memakan ubat dan menemui doktor secara berkala selain perlu mengamalkan permakanan sihat dan kerap melakukan senaman. Berjalan kaki perupakan cara yang terbaik, selain dapat menghirup udara segar. Oleh kerana itu mereka memilih taman pantai Tanjung Aru ini untuk beriadah kerana betul-betul behadapan dengan Laut China Selatan. Udaranya bersih dan nyaman
Di taman pantai Tanjung Aru ini dahulunya begitu masyhur dan menjadi tumpuan ramai bukan saja masyarakat tempatan, malah pelancong dari luar negara juga. Di taman ini juga dahulunya sering diadakan persembahan hiburan rakyat anjuran satu-satunya stesen radio tempatan setiap hujung minggu yang melibatkan beberapa orang artis yang terdiri daripada penyanyi dan pelawak tempatan. Salah seorang yang popular pada waktu itu dan masih aktif dengan aktiviti seninya sehingga kini ialah pelawak yang bergelar Mat Kongo, hari ini pun sebut saja nama Mat Kongo ramai yang mengenalinya. Beliau seorang pesara tentera dan pernah suatu ketika dulu bertugas di negara Kongo di bawah pasukan Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu, daripada situlah lekatnya nama Mat Kongo itu.
Di pantai ini kini, tiada lagi telatah Mat Kongo yang membuatkan orang gelak ketawa, yang ada hanya pokok-pokok cemara laut yang sudah tua dan pondok-pondok usang. Kini ia hanya dikunjungi pada hujung minggu atau musim cuti sekolah oleh beberapa orang yang ingin menikmati keindahan lautan yang luas terbentang dihiasi dengan beberapa pulau kecil yang nampak membiru di hadapan. Pulau-pulau ini ada yang diduduki dan ada yang tidak. Salah satu pulau itu ialah Pulau Gaya, agak berhampiran dengan tanah besar dan diduduki oleh sebilangan besarnya adalah terdiri dari warga asing. Satu ketika dulu pulau ini menjadi sarang penjenayah kerana di sini sering berlaku pembunuhan dan aktiviti pengedaran dadah yang rata-ratanya didalangi oleh warga asing. Namun kini pihak berkuasa telah melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mewujudkan suasana yang selamat dan terkawal di pulau itu.
Di taman pantai Tanjung Aru ini ada rancangan pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan pantai ini secara holistik dengan membina rangkaian pusat-pusat rekreasi untuk kemudahan masyarakat tempatan dan juga pelancong luar. Dijangkakan kos pembinaanya memakan ratusan juta ringgit juga. Sedikit masa lagi taman pantai Tanjung Aru ini akan mengalami wajah baru yang lebih moden dan menarik semula ramai pengunjung.
Salim dan Pengiran Omar merupakan dua sahabat yang baru sahaja melangkahkan kaki ke dunia baru mereka iaitu dunia persaraan setelah genap usia enam puluh tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan. Sewaktu bertugas dahulu, kekangan masa sering mencengkam mereka sehingga tidak mempunyai masa terluang bagi mereka untuk menjalankan aktivit riadah.
Sebelum ke dunia persaraan, Salim menumpahkan kesetiaan terhadap tugasnya sebagai akauntan di sebuah jabatan kerajaan. Di jabatan ini, beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya berhubung dengan kelancaran pengurusan kewangan jabatan. Oleh kerana beliau sentiasa bergelut dengan peruntukan kewangan yang disalurkan ke jabatannya, Salim sentiasa bermuhasabah diri dan berintegriti tinggi bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dalam menguruskan kewangan jabatannya. Menyara anak bini dengan pendapatan yang berkat merupakan suatu yang dituntut oleh Maha Pencipta. Itulah yang menjadi prinsip hidupnya.
Sebagai kakitangan awam, lebihlebih lagi kedudukannya di tempat yang strategik, dia tidak terlepas dari pelbagai kerenah khususnya mereka yang berkepentingan. Namun semuanya ditangani dengan baik.
Salim bersyukur kerana dapat menjalani fasa-fasa pekerjaannya dengan mengekalkan ketaatan dan ketelusan sebagai mana aku janji yang pernah diikrarkan dan ditandatanganinya. Berkat kejujuran dan keikhlasan melaksanakan tugasnya itu, dia dapat melayari kehidupan sederhana dengan tenang di samping keluarga sehinggalah bersara daripada perkhidmatan. Anak-anak Salim seramai lima orang telah berjaya dalam bidang pelajaran. Kesemuanyanya bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta. Kepada anak-anaknya ini Salim selalu berpesan agar dapat melaksanakn tugas dan tanggung jawab dengan jujur dan amanah. Ini penting sebab ganjaran yang diterima setiap bulan datangnya dari rakyat. Kerajaan mengutip dana daripada pelbagai bentuk cukai daripada rakyat, dikumpulkan lalu diagih-agihkn untuk tujuan pengurusan selain untuk membangunkan prasarana dalam negara demi faedah rakyat. Selain itu juga sikap amanah dan jujur dalam melaksakan tugas boleh menjamin negara bergerak maju. Inilah falsafah hidup Salim yang tidak pernah luntur dalam memberi khidmat terbaik semasa perkhidmatannya.
Seperti Salim, Pengiran Omar juga telah bertugas di sektor kerajaan. Mereka mempunyai prinsip yang hampir sama dalam melaksanakan tugas. masingmasing. Sebagai pegawai yang dipertanggungjawabkan mengenai pembangunan di sebuah jabatan, hatinya kadangkala terasa agak tergores dengan sikap segelintir mereka yang diamanahkan bagi memastikan kerja-kerja pembangunan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditentukan tidak dibuat dengan cermat dan teliti. Sikap tidak amanah ini boleh menjahanamkan sesebuah negara jika tiada kesedaran di kalangan pejawat awam secara holistik.
Dia pernah diberitahu tanpa berselindung oleh seorang rakan sekerjanya yang ditugaskan memantau projek pembangunan bahawa rakan sekerjanya itu kononnya tidak pernah lagi mengusik dan mengetahui berapa gaji bulanan yang diterimanya. lantaran memperolehi sumber sampingan. Dia tidak pasti sumber sampingan yang dimkasud oleh rakannya itu. Namun akhirnya terserlah juga tembelang rakan sekerjanya itu apabila Pengiran Omar pernah dipengaruhi oleh rakannya itu agar bijak mengambil kesempatan yang ada sepertinya. Tetapi Pengiran Omar bukanlah orang yang gelap mata. Pengiran Omar masih berupaya membuat pertimbangn bahawa sumber rezeki yang haram itu boleh membawa padah. Pengiran Omar hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Dia pernah juga menegur secara baik agar rakannya itu menghentikan perbuatan terkutuk itu kerana ia boleh menjejaskan perkhidmatan rakannya itu, namun tidak diendahkan. Dia hanya mampu berdoa agar rakan itu menghentikan perbuatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
Pangiran Omar bersyukur sebagai insan kerdil sepertinya di sisi Maha Pencipta, masih ada benteng-benteng kukuh dalam jasad nuraninya dapat mempertahankan diri daripada melibatkan diri dengan perkara-perkara mungkar selama perkhidmatannya. Dia tahu sesen yang diperolehinya secara tidak betul akan menjadi stigma terhadap kehidupan keluarganya kelak. Sebagai umat Islam, dia tahu balasan Allah amatlah perit jika dia melaksanakan tugas secara tidak amanah. Inilah yang amat dijauhi dan ditakutinya. Pengiran Omar sedih mengenangkan apa yang terjadi pada rakannya itu yang akhirnya menjerumuskan dirinya ke dalam tirai besi.
Menikmati hari-hari persaraan ini, begitu banyak masa yang terluang yang perlu dipenuhi dengan aktiviti yang memberi faeadah. Lantaran itu Pengiran Omar mengasah balik bakatnya untuk menulis. Pengiran Omar berminat dalam bidang penulisan seperti puisi dan cepen. Kini dia menjadi ahli persatuan yang memperjuangkan bahasa dan sastera tanah air. Dia memilih untuk menyertai persatuan itu adalah sebagai wadah bagi memperbaiki lagi mutu penulisannya dari semasa ke semasa. Ketika dalam perkhidmatan dulu, dia tidak banyak kesempatan untuk menulis kerana perlu fokus kepada tugasan hariannya. Karyakarya Pengiran Omar yang berupa cerpen dan puisi sering tersiar di akhbar akhbar tempatan dan arus perdana.
Pagi itu seperti pagi-pagi sebelumnya mereka meneruskan aktiviti riadah. Kali ini mereka hanya berjalan-jalan santai di atas permukaan pasir memutih di pantai itu atas permintaan Pengiran Omar. Salim akur dan dia hanya tersenyum melihat sahabatnya itu merenung jauh ke laut sambil kaki melangkah. Sesekali kasut jenama Nike yang digunakan sahabatnya itu tersepak ranting-ranting kayu yang tersadai di pantai itu kerana tumpuan matanya ke arah lain, ke laut yang luas terbentang.
Pengiran Omar mencatatkan sesuatu ke dalam buku kecilnya. Salim faham yang sahabatnya itu sedang didatangi ilham untuk bahan penulisanya nanti. Salim merupakan peminat setia yang selalu membaca karya-karya Pengiran Omar, bukan kerana dia minat sangat dengan sastera tetapi lantaran sahabatnya yang menulis, mahu tidak mahu terdorong juga keinginannya untuk membaca hasil karya sahabatnya itu.
“Cukuplah dulu untuk pagi ini, esok kita sambung lagi,” pinta Pengiran Omar yang kelihatan termengah-mengah sambil berpaut pada sebatang pokok cemara laut. Nota kecilnya masih dipegang kemas.
“Kita buat regangan ringan dahulu,” cadang Salim. Mereka berdua memusing-musingkan tubuh mereka ke kiri dan ke kanan dan menarik nafas panjang-panjang, menghembusnya perlahan-lahan.
Sudah dua hari Pengiran Omar tidak turun beriadah bersama Salim. Ketiadaan Pengiran Omar selama dua hari ini membuatkan Salim rasa bimbang jika berlaku sesuatu pada sahabatnya itu. Salim cuba menghubungi sahabatnya itu namun tidak berjaya sebab handphone ditutup. Salim singgah ke rumah Pengiran Omar tetapi sepertinya tiada orang di dalam dan pintu berkunci. Salim tambah bingung. Tiba-tiba isteri Pengiran Omar menghubungi Salim, memaklumkan keadaan Pengiran Omar yang sudah dua hari terlantar di hospital akibat tekanan darah tinggi yang melampau. Dia ditempatkan di unit rawatan rapi. Ketika mula Salim mendapat berita itu dia benarbenar berasa cemas kejadian yang berlaku pada sahabatnya itu. Akibat bimbang berlaku sesutu yang serius terhadap sahabatnya itu, dadanya sendiri turut berdebar-debar tak tentu pasal. Salim segera ke hospital.
Mengikut isteri Pengiran Omar, suaminya itu sudah berhenti memakan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital. Dia kini bergantung sepenuhnya dengan minuman tambahan yang diperbuat daripada berbagai jenis herba difomulasikan menjadi satu. Minuman itu dikatakan dapat mengawal pelbagai penyakit termasuk tekanan darah tinggi. Menurut isteri Pengiran Omar lagi pada peringkat awalnya minuman tambahan itu menunjukkan kesan baik pada tubuh Pengiran Omar walaupun dia tidak lagi mempedulikan ubatubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital. Namun tiba-tiba suaminya mengaduh pening kepala lantas tidak sedarkan diri.
Salim teringat beberapa bulan lepas Pengiran Omar memaklumkan kebaikan ubat yang baru dibeli sahabatnya itu melalui syarikat jualan langsung. Salim sempat menasihatinya supaya berhati-hati dan tidak semata-mata bergantung sangat dengan makanan atau minuman tambahan dan mengabaikan ubat yang diberikan oleh pihak hospital. Salim tak pasti sama ada sahabat baiknya itu mengambil maklum nasihatnya itu. Bagi Salim adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menasihati sahabatnya itu dalam perkaraperkara yang baik.
Kini Salim meneruskan aktiviti riadahnya keseorangan tanpa ditemani sahabatnya Pengiran Omar. Keseronokan beriadah bersama sahabatnya itu tidak lagi dapat dinikmatinya seperti biasa, namun aktiviti sihat itu perlu diteruskan juga. Salim mengharapkan sahabatnya itu segera sembuh dan dapat meneruskan aktiviti mereka seperti biasa.
Sementara kesihatan Pengiran Omar sudah beransur pulih. Dia kini sudah ditempatkan di wad biasa. Petang itu Salim dan isterinya mengunjungi Pengiran Omar di wad hospital. Kedatangan Salim dan isterinya disambut dengan senyuman melebar oleh sahabatnya itu walapun dia masih kurang bermaya.
“Aku menyesal tidak ikut nasihatmu Lim,” Pengiran Omar menyatakan kekesalannya pada Salim kerana mengabaikan nasihat sahabatnya itu dulu.
“Ah, sudahlah Pengiran, janganlah diingat benda yang telah lepas. Itu hanya kebetulan.. yang penting Pengiran sudah sembuh dan boleh kita teruskan aktiviti riadah kita semula,” jelas Salim dengan wajah yang kelihatan gembira melihat kasihatan Pengiran Omar mula beransur pulih.
Perjumpaan mereka di wad pada petang itu begitu ceria dengan ditemani beberapa orang keluarga masing-masing. Pengiran Omar pula seperti tidak sabar-sabar untuk meneruskan aktiviti riadah mereka selain berazam untuk terus berkarya. Sesungguhnya dunia persaraan mereka, harus diisi dengan kesempurnaan. Walaupun ia tidak semestinya dapat memenuhi impian. Kerana hanya Dia yang memiliki kesempurnaan itu.