Lebih 10 buaya berjaya ditangkap di Sungai Serait
PASUKAN Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) terus melakukan operasi penangkapan buaya di kawasan perairan Bako, di Kuching.
Seorang pemburu buaya dari pasukan itu, Wan Mazlan Wan Mazian berkata setakat Jumaat, lebih 10 buaya berjaya ditangkap di Sungai Serait, Bako, sahaja.
“Saya sudah berjaya menangkap lebih 10 ekor buaya setakat ini di sungai (Bako) ini sahaja, termasuk seekor yang berjaya ditangkap pagi tadi (Jumaat).
“Kami (SFC) percaya masih banyak populasi reptilia itu ada di perairan ini dan saya hanya ingin mengingatkan orang awam, khususnya penduduk kampung atau pelancong yang menggunakan laluan sungai ini sama ada mahu ke kawasan perkampungan atau ke Taman Negara Bako, agar lebih berhatihati,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas berjaya menangkap seorang buaya betina dewasa berukuran kira-kira 4.5 meter panjang di sungai itu, pagi pada Jumaat.
Mazlan berkata, kebiasaannya, pihaknya bertindak mengikut aduan dan laporan orang awam sekiranya terlihat reptilia itu timbul di permukaan sungai.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan buaya pada Khamis, katanya, beliau menerima laporan daripada orang awam yang melihat buaya timbul di permukaan sungai itu beberapa hari lalu.
“Buaya itu juga dikatakan sering ‘berehat’ di sungai itu dan menimbulkan ketakutan serta kerisauan dalam kalangan penduduk kampung, lebihlebih lagi perairan ini digunakan sebagai laluan utama untuk pergi ke Taman Negara Bako.
“Justeru, pagi tadi (Jumaat) saya terus memasang umpan dan akhirnya ia terjerat pada umpan yang dipasang. Kemudian saya mengikat buaya itu di bawah bot bagi memudahkan saya menghantarnya kelak ke Pusat Hidupan Liar Matang,” jelasnya.
Dalam tangkapan itu, Mazlan turut dibantu Renjer SFC Muhammad Izzat Nurulhaq Asma Khan.