Karnival Kewangan Sabah 2017 platform sampaikan khidmat kepada pelanggan
KOTA KINABALU: Karnival Kewangan Sabah 2017 adalah platform terbaik kepada CIMB Bank Berhad bagi menyampaikan khidmat nasihat pengurusan kewangan kepada para pelanggan di sini.
Ketua Penjualan Runcit dan Pengagihan Pelanggan CIMB Bank Berhad Nor Azmi Md Yusof berkata, tujuan pihak bank menyertai karnival itu adalah khusus untuk memberikan pendidikan kepada orang ramai mengenai produk yang ditawarkan.
“Dalam karnival yang diadakan di sini dan Kuala Lumpur sebelum ini, kedatangan pengunjung adalah sangat menggalakkan.
“Kebanyakan pengunjung datang untuk mendapatkan nasihat, bertanyakan produk dan juga cara pengurusan kewangan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Kewangan Sabah 2017 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, karnival itu menjadi satu platform terbaik kepada para pelanggan CIMB untuk datang mengetahui produk bank seperti pelaburan, pinjaman dan sebagainya.
Katanya, CIMB kini mempunyai perkhidmatan atas talian yang sangat memberikan manfaat kepada para pengguna iaitu CIMB EVA atau Pembantu Maya.
“Selain itu, CIMB Klik juga telah dinaik taraf kepada versi 2.0 yang mana ianya akan menyediakan perkhidmatan yang lebih lancar kepada semua pelanggan.
“Secara keseluruhan pada karnival kali ini, kami memberikan tumpuan kepada sistem perbankan secara digital kepada orang ramai,” katanya.
Katanya, cara itu akan mengubah lanskap sistem perbankan di masa hadapan khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, berdasarkan bentuk muka bumi di keduadua negeri itu, adalah penting sistem secara digital digunakan secara optima memandangkan cawangan bank tidak mungkin akan dibuka pada setiap kawasan khususnya luar bandar.