Berdakwah perlu ada tauliah
Kebenaran daripada kerajaan negeri Sabah terlebih dahulu
KOTA KINABALU: Pendakwah luar perlu mendapat pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Pejabat Mufti untuk menjalankan aktiviti dakwah di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sesiapa sahaja yang mahu berdakwah di Sabah sentiasa dialu-alukan.
Namun katanya, pihak berkenan perlu terlebih dahulu mendapat keizinan dan belajar tentang budaya dan adat masyarakat Sabah.
“Di Sabah kita memperkenalkan formula yang dikenali sebagai Fiqh Sabahi bagi memastikan dakwah yang disampaikan itu dapat menyebarkan ilmu dan bukannya menjadikan masyarakat kita sebagai ekstrimis.
“Pelaksanaan Fiqh Sabahi juga bagi memastikan dakwah yang disampaikan itu bersifat hikmah dan berkasih sayang bukannya bersifat keras dan menyentuh perasaan penganut agama lain.
“Apa yang ingin kita pastikan, melalui Fiqh Sabahi, masyarakat dan dakwah dapat dilihat dalam bentuk persahabatan dan permuafakatan,” katanya.
Beliauberkatademikianbagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Bongawan) mengenai pentauliahan pendakwah luar yang menjalankan aktiviti ceramah di masjid-masjid di negeri ini.
Arifin berkata, formula dakwah Fiqh Sabahi adalah menepati kesesuaian budaya, adat dan adab masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana penceramah luar yang mahu berdakwah ke Sabah, perlu menghormati budaya dan undang-undang yang ditetapkan di negeri ini.
Dalam pada itu jelasnya, Majlis Fatwa Negeri Sabah setakat ini sudah menfatwakan sebanyak 16 ajaran sesat yang menyalahi dan menyeleweng dari akidah ahli Sunnah WalJamaah.
“Kesemua ajaran sesat berkenaan termasuklah ajaran Qadiani, al-Arqam, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Syiah, Tal Tujuh, Tarikat Hasaniah, Tariqat Naqsyabandiah al-Aliyah, Nasrul Haq, Zikir Hasan Rimau, Kumpulan Awang Rezki, liberalisme dan pluralisme.
“Bagi menangani kegiatan ajaran sesat, kerajaan juga mengambil langkah melalui pendidikan berterusan dan dakwah ‘bil-hikmah’ serta ‘bil-hal’.
“Usahainibagimemberikan penjelasan tentang bahayanya akidah yang salah dan menyeleweng kepada masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Muis Picho (BN-Sebatik).