MDR diminta siasat penjualan durian dari daerah lain
RANAU: Orang ramai khususnya para penjaja buah durian di daerah ini mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi penguatkuasa Majlis Daerah Ranau (MDR) membuat siasatan terhadap dakwaan ada buah durian dari daerah lain dijual di sini.
Seorang penjawat awam, George Stanislaus, 49, dari Kundasang berpendapat jika dakwaan itu benar, maka harus dihentikan segera kerana iamenjejaskanpendapatan para pekebun dan penjaja di daerah ini.
“Perbuatan menjual durian dari daerah lain akan menjejaskan nama baik Daerah Ranau, sebagai pengeluar buah durian terbaik, beraroma, wangi dan manis,” katanya.
Seorang aktivis politik di Ranau, Ajamain Dani, 42, turut menyokong supaya penjualan durian dari daerah lain di Ranau dihentikan segera agar tidak menjejaskan para penjaja buah durian di daerah ini.
“Siasatan perlu dijalankan dan jika benar, jangan benarkan sesiapapun menjual. Orang luar akan mengakui durian mereka adalah dari Ranau, padahal durian itu bukannya dari sini.
“Ada dakwaan bahawa pelancong membeli durian di Ranau, tetapi mereka kecewa apabila buah yang merekabeliiturasanyatawar dan kelat,” jelasnya.
Tinjauan di beberapa lokasi termasuk di Pondok Tiga dan Pasar Terbuka Pekan Ranau mendapati tidak ada durian dari daerah lain dijual di gerai-gerai berkenaan.
“Setakat ini, saya belum nampak buah durian dari daerah lain dijual di sini, tetapi orang dari daerah lain datang di sini untuk memborong durian Ranau dan menjual buah itu ke daerah lain seperti yang saya lakukan,” kata Nuriwan Sarubi, 29, dari Kg Samparita, Kota Marudu.
Berpuluh jenis durian kini dijual di Ranau yang biasanya bermula Ogos hingga November setiap tahun.
Ketika ini, harga durian di sini ialah RM10 sekilogram (durian biasa) manakala durian apakia, sarawak king, durian kunyit dan musang king dijual dari RM25 hingga RM60 sekilogram.