Malinja One FC benam Baihu FC 7-0
LABUAN: Pasukan Malinja One FC membenam pasukan Baihu FC 7-0 dalam Kumpulan C, Kejohanan Bola Sepak Piala Komuniti Labuan 2017 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Labuan, pada petang Sabtu.
Pada separuh masa pertama, pasukan Malinja One FC menjaringkan gol terpantas dalam kejohanan pada kali ini, menerusi Mohd Atik Kasim yang berjaya menjaringkan gol pada minit ke-2 dan sekali lagi pada minit ke-4.
Pasukan itu terus menambah jaringan ketiga pada minit ke-33 menerusi Rianto Hardi.
Mohd Ridzwan Mamat menjaringkan gol ke-4 Malinja One FC pada minit ke-40, untuk pasukan itu selesa mendahului 4-0 pada babak pertama.
Sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan Malinja One FC pada separuh masa kedua minit ke-49, tidak dipersia-siakan Mohd Zaidi Mohd Sawi untuk gol kelima pasukannya.
Gol keenam hadir menerusi Mohd Ridzwan Mamat yang menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-65.
Pasukan Malinja One FC belum berpuas hati dengan enam gol apabila terus meledak gol ke tujuh menerusi Mohd Zaidi Mohd Sawi pada minit ke-85.
Mengulas kemenangan besar itu, pengurus pasukan Malinja One FC, Mohd Fakrurozi Elias amat berbangga dengan kesungguhan anak buahnya bukan sahaja mencatat kemenangan pada perlawanan pertama tetapi juga mampu menjaringkan tujuh gol.
Beliau berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak kemenangan untuk menghadapi dua lagi perlawanan dalam kumpulan C dan seterusnya melangkah ke pusingan kedua.
“Pemain yang diturunkan telah menunjukkan mutu permainan yang berkualiti hasil percaturan yang bijak oleh jurulatih Malinja One FC,”katanya.