Larian The Borneo Post dan Yeo’s pada 24 September
KOTA KINABALU: Larian 10 kilometer (km) The Borneo Post dan Yeo’s kini kembali tahun ini yang mana akan diadakan pada 24 September.
Larian yang akan diadakan bermula seawal jam 6 pagi itu dijangkakan berlangsung di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas.
Pengurus Jualan Kawasan Sabah Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd Terence Tsen Tze Fung berkata acara itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Kota Kinabalu mengenai pentingnya melakukan senaman harian.
Katanya, Yeo’s menjemput masyarakat sekitar bandaraya untuk menyertai larian itu bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mereka.
“Ia adalah sebagai platform kepada peserta untuk berkumpul seterusnya mengurangkan tekanan melalui acara larian,” katanya pada sidang media Larian The Borneo Post dan Yeo’s di sini pada Selasa.
Terence berkata, dalam acara berkenaan Yeo’s turut memberikan minuman mereka yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia Timur iaitu Yeo’s Jasmine Green Tea kepada semua peserta larian.
Yeo’s juga menawakan harga istimewa kepada peserta yang menyertai larian berkenaan apabila mereka membuat pembelian di gerai jualan Yeo’s yang disediakan pada sepanjang acara itu berlangsung.
Bersama-sama Yeo’s dalam menjayakan larian berkenaan adalah Wanfa, Mee Daddy dan Wild Borneo sebagai pengurus program.
Sementara itu, Pengurus Program Larian The Borneo Post dan Yeo’s June Gerald berkata larian itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu lelaki serta wanita terbuka, veteran dan pelajar.
“Untuk penyertaan kategori veteran, mereka haruslah berumur 45 tahun dan ke atas.
“Yuran penyertaan bagi kategori terbuka serta veteran adalah RM55 dan akan meningkat kepada RM70 selepas 500 penyertaan terawal.
“Manakala yuran penyertaan kategori pelajar sekolah adalah RM50 tanpa had penyertaan,” katanya.
Katanya, penyertaaan berkumpulan juga dibuka yang mana yuran adalah sebanyak RM50 seorang. Penyertaan berkumpulan itu haruslah lebih daripada 10 orang sekumpulan. “Setiap penyertaan juga akan diberikan medal dan baju larian.
“Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang program itu berlangsung seperti pertunjukan haiwan peliharaan, pertandingan Putting Golf, pertandingan kostum watak komik kepada peserta larian dan tarian tradisional,” katanya.
Borang penyertaan boleh diperoleh di pejabat Wild Borneo Likas Driving Range atau menghubung talian 088204130/019-9066505 dan melalui akaun Facebook ‘Heal The World Run Series’.
Turut hadir, Pengurus Besar Operasi Kawasan Kumpulan KTS Wong Kee Mee, Pengurus Sokongan Kawasan Kumpulan See Hua Tie King Hoh, Pengurus Kanan Pemasaran See Hua Marketing (Sabah) Sdn Bhd Wong Pak Ing.