Kerajaan tidak sembunyi apa-apa
Segala penjelasan diberi dalam Persidangan DUN
KOTA KINABALU: Tiada apa yang disembunyi dan disorokkan dalam memberi penjelasan mengenai isuisu yang dibangkitkan sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Ketua Menteri Datuk Seri panglima Musa Haji Aman berkata menteri dan pembantu menteri sudah memberi penjelasan terperinci untuk menjawab persoalan yang dikemukakan khususnya daripada pembangkang.
Antara perkara diutarakan dalam persidangan kali ini termasuklah mengenai pelaburan, industri minyak dan gas, perhutanan, tanah, geran komunal, keselamatan serta hak-hak dan kepentingan Negeri Sabah.
“Kita berikan penjelasan secara terperinci dan jelas bagi memperlihatkan kita selaku Kerajaan Negeri sentiasa melakukan apa yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Kita tidak mempunyai apa yang hendak disembunyikan. Saya katakan kepada mereka (pembangkang), kita tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyi dan dirisaukan. Apa yang kita lakukan sekarang baik untuk rakyat.
“Program seperti perhutanan semula dan Mini Estet Sejahtera jelas menunjukkan ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media sempena Persidangan DUN ke-14, Penggal kelima yang berakhir pada Rabu.
Dalam pada itu, Musa turut melahirkan kekesalan terhadap pembangkang yang cuba mengekspoitasi dan memutarbelitkan fakta melalui penjelasan kepada persoalan yang dikemukakan biarpun jawapan yang jelas sudah diberikan.
“Pembangkang seolah-olah tidak menerima penjelasan yang diberikan dan membuat andaian yang tidak betul. Ini fitnah…ini perlihatkan mereka tidak ‘gentlemen’.
“Kita seharusnya menerima apa yang dijelaskan. Kita beri penjelasan berasaskan fakta yang terbukti kita menjalankan kerja dengan sebaiknya...apa yang kerajaan lakukan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau juga menasihatkan pembangkang supaya jika ingin mengemukakan soalan, mereka haruslah mempunyai fakta dan bukan sekadar bertanya soalan untuk memutarbelitkan fakta.
Menyentuh tentang persidangan DUN itu, Musa berkata secara keseluruhan semua terkawal dan tiada perkara tidak diingini berlaku.
“Kita dapat menjawab semua soalan dikemukakan (pembangkang), sama ada mereka gembira atau tidak dengan jawapan diberi terpulang kepada mereka.
“Apa yang penting, rakyat dapat menilai kerana kerajaan sudah berusaha memastikan pembangunan berjalan lancar dan rakyat terus mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilakukan selama ini,” katanya.