`Kekalkan keindahan, kebersihan’
MPS hargai usaha wujudkan premis tanpa sampah
SANDAKAN: Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Haji Mohd Hamsan Awang Supain berkata pihaknya menghargai usaha pelbagai agensi dan jabatan serta pejabat, sekolah dan pusat pengajian tinggi yang terus komited dalam memastikan premis dan kawasan persekitaran mereka bersih dan indah.
Menurut beliau, tidak dinafikan permulaan bagi memastikan premis tanpa sampah dan seterusnya mengekalkan pencapaian itu adalah sukar dan mencabar.
“Kita berharap usaha mengekalkan keindahan dan kebersihan akan dapat diteruskan selain terus komited menghadapi apa sahaja cabaran pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Premis Tanpa Sampah di Dewan Persidangan MPS di sini pada Rabu. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MPS Lily Aw.
Pada majlis itu, Hamsan menyampaikan Watikah Perisytiharan Premis Tanpa Sampah kepada beberapa premis termasuk SM St Mary, SK St Monica, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, HSBC Bank, Public Bank, Prima Square, Sandakan Hotel, UMS Sandakan, SM Yu Yuan, SJKC Chi Hwa, SMJK Tiong Hua, SK Merpati, SMK Tinusa, SMK Gum-Gum dan SMK Elopura.
Setakat ini, sebanyak 20 premis telah diisytihar sebagai Premis Tanpa Sampah sejak pelaksanaannya pada 2012.
Dalam pada itu, Hamsan mengajak masyarakat di daerah ini agar dapat mencontohi sikap masyarakat di negara maju yang terus memastikan kebersihan kawasan mereka berada pada tahap terbaik sekaligus menyokong usaha MPS mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah.
“Ia termasuk aktiviti kitar semula dan pengasingan sisa makanan atau harian dan juga pengasingan barangan yang boleh dikitar semula dari sisa bahan buangan domestik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar unit MPS terbabit dapat mencontohi negeri Melaka yang telah mengamalkan sistem pengasingan sisa buangan itu di mana penduduk juga digalakkan untuk mengasingkan bahan buangan dari dapur dan barang yang boleh dikitar semula.
“Kita
berharap usaha mengekalkan keindahan dan kebersihan akan dapat diteruskan selain terus komited menghadapi apa sahaja cabaran pelaksanaannya. ” HAJI MOHD HAMSAN AWANG SUPAIN Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)