‘Borneo Wildlife Warriors’
dokumentasi siri kedua Scubazoo
SCUBAZOO TV kini meneruskan lagi dokumentasi bersiri mereka selepas menyempurnakan 10 episod ‘Borneo Jungle Diaries’.
Pengarah Urusan Scubazoo Jason Isley berkata dokumentasi bersiri musim kedua itu yang bertajuk ‘Borneo
Wildlife Warriors’ akan mula ditayangkan pada 16 Ogos.
“Dokumentasi siri kedua ini akan disiarkan selama enam minggu. Sepanjang enam minggu itu, Scubazoo bersamasama beberapa doktor haiwan dan renjer bekerja dengan lebih mencabar berbanding penggambaran sebelumnya.
“Kumpulan Scubazoo dan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah (WRU) berhadapan beruang madu, gajah dan orang utan untuk melindungi hidupan terancam ini,” katanya pada sidang media Borneo Wildlife Warriors, di Kota Kinabalu pada Rabu.
Katanya apa yang dilakukan sepanjang dokumentasi berkenaan adalah menyiasat ancaman yang timbul seperti penebangan hutan, perdagangan haiwan dan banyak lagi.
Selain itu jelasnya, mereka turut memeriksa kesihatan beruang terkecil di dunia itu, menyelamatkan anak gajah yang sesat, menangkap serta memindahkan gajah jantan dewasa yang terperangkap dalam ladang sawit dan menyelamatkan habitat orang utan.
Jason berkata, apa yang mereka lakukan itu adalah bagi meningkatkan kesedaran kepada orang awam mengenai pentingnya menyelamatkan haiwan yang diancam kepupusan.
“Ini adalah usaha kita untuk membantu dalam apa sahaja bantuk kepada Jabatan Hidupan Liar bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat bahawa hidupan yang dipertontonkan ini adalah spesies yang terancam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Scubazoo Terence Lim berkata idea menjalankan dokumentasi berkenaan bermula sejak 20 tahun lalu.
“Pada awalnya, kami bermula dengan aktiviti skuba di pulau terbaik dunia iaitu Sipadan. Ketika itu, kami hanya mengambil rakaman dasar laut untuk dipertontonkan seluruh dunia.
“Daripada itu, kami berkembang kepada penggambaran di darat kerana merasakan sebagai satu peluang terbaik merakamkan aktiviti bersama WRU dalam memulihara haiwan terancam,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya platform itu, sekaligus dapat memberitahu kepada pencinta alam sekitar dan semua lapisan masyarakat bahawa hidupan berkenaan perlu dipulihara.
“Ini kerana, mereka terancam daripada pelbagai elemen seperti perdagangan haram,” katanya.
Dalam pada itu, Terence mengajak pembikin filem tempatan untuk bersamasama menceburi bidang itu yang dijalankan oleh Scubazoo.
“Kami ada platform untuk memberi peluang dan membimbing mereka untuk membantu mengetengahkan bukan sahaja dalam aktiviti pemuliharaan hidupan liar tetapi juga pelbagai isu seperti budaya mahupun sejarah agar ia tidak hilang ditelan zaman.
“Scubazoo mempunyai hubungan di peringkat antarabangsa seperti Net Geo, Discovery Channel dan sebagainya.
“Inilah satu peluang kepada anak muda Sabah jika mereka mempunyai cerita yang ingin tunjukkan kepada masyarakat,” jelasnya.