TUKAR MAKLUMAT RISIKAN
Malaysia, Indonesia, Filipina setuju lantik ‘orang hubungan’
TENOM:MenteriPertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara Indonesia, Malaysia dan Filipina pada mesyuarat INDOMALPHI Trilateral Intelex memutuskan agar setiap negara melantik ‘orang hubungan’ (POC).
Jelasnya, orang hubungan dari kalangan anggota tentera dan polis itu adalah untuk memudahkan urusan pertukaran maklumat risikan berhubung ancaman keselamatan termasuk daripada kumpulan Daesh.
Beliau berkata, dalam mesyuarat yang julung kalinya diadakan melibatkan ketigaketiga negara berjiran di Manila, Filipina baru-baru ini, Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya mesyuarat berkenaan diadakan susulan pertemuan wakil ketiga-tiga negara sewaktu menghadiri Persidangan ‘Trilateral Meeting On Security Among The Philippines, Indonesia and Malaysia’ pada bulan lalu.
Selain itu, kata Hishammuddin, semasa mesyuarat tersebut, ketigatiga negara turut bersetuju agar perbincangan dan perjumpaan antara wakil dari setiap negara mesti dilaksanakan setiap tiga bulan mengikut giliran dan Malaysia dilantik sebagai penganjur bagi persidangan kedua yang dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2017.
“Sesungguhnya, inisiatif ini amat penting dan bersejarah bagi Malaysia, Indonesia dan Filipina kerana ia menjadi kerjasama pertama melibatkan ketiga-ketiga negara yang menggabungkan elemen ketenteraan dan kepolisan bagi membincangkan dan berkongsi maklumat perisikan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di sini selepas beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Zon 4 di sini pada Ahad.
Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas menganggap pendekatan berkenaan sebagai tepat pada masanya serta berupaya membawa impak positif terhadap usaha menangani ancaman keganasan di rantau Asia Tenggara.
Katanya Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi komitmen sepenuhnya dan sedia menyumbang apa juga bentuk perkongsian yang diperkirakan berupaya membantu menjayakan inisiatif berkenaan.
“Malah, sebelum ini, saya sendiri bersama rakan sejawat saya, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan seterusnya memutuskan untuk malaksanakan pelbagai bentuk kerjasama pertahanan termasuk berkongsi maklumat risikan,” katanya.
Justeru kata Hishammuddin, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana usaha ketiga-tiga negara berkenaan sebelum ini telah diterjemahkan menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan. - Bernama