Anggota Umno perlu ada empat ciri jika mahu menang PRU14
PADANG BESAR: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid menggariskan empat ciri yang perlu ada pada penyokong dan anggota Umno untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Katanya ciri-ciri tersebut ialah kesepakatan, kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kepercayaan kepada pimpinan bahagian dan tidak kecewa di tengah jalan dengan meninggalkan ‘peperangan’ yang belum tamat.
“Sekiranya semua penyokong dan anggota Umno berpegang kepada ciri-ciri ini, saya yakin kita tidak akan kecewa apabila menghadapi pembangkang pada PRU-14 kelak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Padang Besar di Maktab Rendah Sains Mara Beseri, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Sementara itu, Mahdzir turut mendedahkan PAS kini bekerjasama dengan Umno selepas menyedari niat DAP yang mahu memecahbelahkan orang Melayu.
Strategi DAP menerusi Lim Kit Siang ialah memecahbelahkan undi Melayu dan mengapi-apikan orang Cina dan India agar membenci Umno, katanya.
“Mereka dilihat berjaya dengan strategi ini pada PRU-12 dan PRU13 hasil kerjasama dengan PAS. PAS bagaimanapun menyedari niat tidak baik DAP lalu menarik diri dan kini bekerjasama dengan Umno untuk menyatukan orang Melayu,” katanya.
Beliau juga meminta anggota Umno agar tidak bersekongkol dengan pembangkang atas dasar belas kasihan dan ini termasuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menentang Umno. Bernama