Pencapaian boling MSS Sabah meningkat
Johan keseluruhan kategori lelaki 18 tahun Kejohanan Boling Tenpin MSSM 2017
KOTA KINABALU: Kontinjen boling Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Sabah mencatat peningkatan prestasi yang amat memberangsangkan apabila berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan pada Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2017 yang berlangsung di Aman Bowl Alor Setar, Kedah pada 6 hingga 11 Ogos lalu.
Pada kejohanan itu, johan keseluruhan disandang oleh kontinjen MSS Kedah dengan kutipan 10 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa, manakala naib johan dimenangi kontinjen MSS Selangor dengan kutipan 6 emas, 8 perak dan 3 gangsa.
MSS Sabah meraih pencapaian 4 emas, 6 perak dan 2 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian.
Atlet boling MSS Sabah yang paling menyerlah ialah Nevern Netaneel Macellinus (kategori 18 tahun ke bawah) dengan menyumbang dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dengan skor 1,349 dan acara All Events Lelaki Bawah 18 dengan skor 2,684 (jatuhan pin).
Nevern Netaneel turut menyumbang pingat perak untuk kontinjen Sabah melalui acara Masters Lelaki Bawah 18 tahun.
Dua lagi pingat emas Sabah diperolehi melalui Nur Jee- han Ezzaty bagi kategori perempuan bawah 12 tahun dengan kutipan 717 skor dan pasukan berempat perempuan bawah 18 tahun.
MSS Sabah diwakili Siti Nurafiqah Abd Satal, Nurul Alyssa Junaidi, Nurul Ayunni Junaidi dan Sahsa Ameerah Puteri Shahrom yang menyumbang pingat emas dengan skor 1,151.
Selain Nevern Netaneel, Nurul Alyssa Junaidi turut menyumbang dua pingat emas melalui acara perseorangan perempuan (skor 1,304) dan All Events perempuan bawah 18 tahun.
Tiga lagi pingat perak MSS Sabah diperolehi melalui pasangan Nurul Alyssa dan Nurul Ayunni dalam acara beregu perempuan bawah 18 tahun dengan 2,340, pasangan Nur Afiqah Roslan dan Nur Wardina (perak/1,298) bagi kategori bawah 12 tahun dan juga Cara Loh Wai Theng (perak) bagi acara Masters Perempuan bawah 12 tahun. Sementara itu, dua pingat gangsa MSS Sabah disumbangkan oleh Nur Wardina bagi acara All Events perempuan bawah 12 tahun dan Emmanuel Fo Yung Khee bagi perseorangan lelaki bawah 12 tahun dengan jumlah skor sebanyak 805.
Pada kejohanan itu, Sabah turut dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi kategori lelaki 18 tahun dengan kutipan 2 emas dan 1 perak yang disumbangkan oleh pemain cemerlang MSS Sabah, Nevern Netaneel Macellinus.
Dalam pada itu, pemain boling MSS Sabah 2017 turut menduduki tempat ke-4 bagi tujuh acara dan hampir memperolehi pingat.
Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (PTPS) Boling Tenpin MSS Sabah, Suhaineih Sainan dari SM Lok Yuk Likas Kota Kinabalu, berkata, pencapaian MSS Sabah 2017 mencatat peningkatan yang amat baik berbanding tahun lalu. Katanya, pada kejohanan MSSM2016 di Perak, MSSSabah hanya menduduki tempat ke-4 keseluruhan dengan pencapaian 3 pingat emas, 1 perak dan 3 gangsa.
Menurutnya, pencapaian terbaik Sabah dalam sejarah Kejohanan Boling MSSM ialah menduduki naib johan keseluruhan semasa MSSM di Melaka beberapa tahun lalu.
Rombongan kontinjen boling MSS Sabah 2017 seramai 35 orang termasuk 24 pemain dan 11 pegawai kontinjen diketuai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Umin Sadi selaku Ketua Kontinjen.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan MSSM itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Datin Paduka Dato’ Hajah Azuyah Hassan.
Atlet boling MSS Sabah yang paling menyerlah ialah Nevern Netaneel Macellinus (kategori 18 tahun ke bawah) dengan menyumbang dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dengan skor 1,349 dan acara All Events Lelaki Bawah 18 dengan skor 2,684 (jatuhan pin).