Utusan Borneo (Sabah)

Polis tahan 12 suspek kes pecah masuk kedai telefon

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

PAPAR: Seramai 12 individu ditahan dipercayai terlibat dengan kes pecah masuk sebuah kedai telefon bimbit di sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superinten­dan Ladamah Sulaiman berkata, dalam kejadian pada 18 Julai itu, sebanyak 38 telefon bimbit dan tablet bernilai kira-kira RM20,000 dilaporkan hilang.

Menurutnya, lima daripada suspek yang ditahan dipercayai terlibat langsung dengan kejadian pecah masuk itu, manakala tujuh lagi disiasat kerana menyimpan atau memiliki barangan curi.

Ladamah berkata, insiden terbabit berlaku antara tengah malam dan 8.30 pagi pada 18 Julai lepas.

Katanya, pemilik kedai berkenaan hanya menyedari kejadian pecah masuk itu sebaik tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, antara barangan yang dicuri termasukla­h 16 telefon bimbit jenama Vivo, sebuah telefon masingmasi­ng jenama Samsung dan Sony, empat tablet jenama Lenovo, 10 telefon jenama Kelaida dan enam telefon Oppo.

"Berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lapan suspek berjaya dikenal pasti terlibat dengan kejadian pecah masuk terbabit.

"Siasatan lanjut membawa kepada penangkapa­n lima suspek manakala tiga lagi masih diburu," katanya kepada media di sini pada Isnin.

Hasil siasatan lanjut, pihaknya berjaya menangkap tujuh lagi individu yang membeli dan memiliki barangan curi.

Bagaimanap­un, pihaknya hanya berjaya mendapatka­n 17 barangan yang dicuri dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menggesa sesiapa sahaja sama ada yang membeli telefon bimbit murah atau percaya telefon yang dibeli adalah barangan curi supaya segera melaporkan kepada polis. -

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia