Utusan Borneo (Sabah)

1,000 guru muda hadiri program pemantapan integriti

- Oleh JOHAN AZIZ

KENINGAU: Seramai 1,000 guru muda dari daerah ini menghadiri program Pemantapan Integriti Guru Muda 1Malaysia (GM1M) yang diadakan di Dewan SJKC Yuk Yin, di sini pada Sabtu.

Program itu dianjurkan oleh Seketeriat GM1M daerah ini dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Himpunan guru muda terbesar yang julung kali diadakan merupakan satu program untuk pemantapan integriti dalam kalangan guru yang berumur 40 tahun ke bawah.

Setiausaha Politik Kementeria­n Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Daniel Kinsik yang merasmikan program itu berkata, integriti seseorang guru itu perlu menjadi keutamaan dalam mendidik anak bangsa mereka agar dapat melahirkan insan yang hebat dalam pelbagai aspek.

“Guru-guru perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan setiap pelajar yang dididik.

“Integriti mungkin dianggap kurang penting bagi sesetengah pihak tetapi ketiadaan integriti inilah yang menyebabka­n sesebuah organisasi itu tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, tugasan guru yang semakin mencabar pada masa kini menuntut komitmen di tahap yang terbaik dalam kalangan guru muda.

Pensyarah dari kolej Vokasional Keningau Sirhajwan Idek yang menerima Anugerah Ikon Kebangsaan kerkongsi kejayaan dengan menyatakan rakan-rakan guru perlu mencipta inovasi dalam memartabat­kan profesion perguruan.

Katanya, seorang guru yang hebat dapat melahirkan ratusan murid yang lebih hebat.

Norsia Timhal yang merupakan ketua penggerak GM1M Keningau berkata, ia akan menjadi program tahunan sebagai platform kepada guruguru muda berkongsi pengalaman mereka dalam mengangkat profesion itu di peringkat yang terbaik.

Di majlis yang sama, Pengerusi YGMB Tan Sri Haji Alimuddin Mohd Dom mengajak guru-guru agar menyertai YGMB yang dilihat dapat menjaga kebajikan guru-guru dalam pelbagai aspek dengan yuran bulanan RM10.

“Jelajah seluruh negara akan dibuat untuk memberi penerangan kepada guru-guru agar mereka faham akan kebaikan yang mereka perolehi apabila menyertai yayasan ini,” katanya.

Pada majlis itu, YGMB menyerahka­n replika cek bernilai RM10,150 kepada seorang ahli YGMB yang ditimpa kemalangan jalan raya di Beluran.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Masly Wahip, pegawai-pegawai dari YGMB dan guru-guru.

 ??  ?? DANIEL menyerahka­n cendera kenangan kepada peserta pameran. Turut kelihatan Masly (kiri) dan Alimuddin (kanan).
DANIEL menyerahka­n cendera kenangan kepada peserta pameran. Turut kelihatan Masly (kiri) dan Alimuddin (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia