Utusan Borneo (Sabah)

Khairol pupuk minat sukan bola tampar sejak usia bayi

-

KUALA LUMPUR: Dibawa ke gelanggang sejak bayi oleh bapanya yang merupakan pembantu jurulatih skuad bola tampar kebangsaan, telah menarik minat Khairol Shazrime Shamsaimon, 16, untuk terlibat aktif dalam sukan itu.

Mendapat perhatian jurulatih pasukan bola tampar kebangsaan, Tay Yeu Siong, selepas membantu Selangor menjuarai acara itu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 membuka peluang kepadanya beraksi pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata menjadi pemain termuda dalam skuad kebangsaan bukan satu masalah buatnya, dan beliau mendapat perhatian daripada jurulatih dan pemain yang lebih berpengala­man.

“Mereka sentiasa beri tunjuk ajar kepada saya dan selalu berkongsi pengalaman sewaktu beraksi pada Sukan SEA sebelum ini. Saya terima dan cuba belajar segala teknik dan cara terbaik untuk beraksi nanti,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Pusat Perdaganga­n dan Pameran Antarabang­sa Malaysia (MITEC).

Beliau mengakui semakin serasi dengan skuad ini selepas lebih setahun berlatih bersama.

Khairol Shazrime berkata walaupun bangga dan gembira kerana terpilih menjadi antara enam pemain utama, tekanan tetap ada terutama kerana posisinya sebagai pengumpan atau setter dalam permainan.

“Tekanan itu adalah sedikit, sebab saya yang paling muda dan posisi saya pula sebagai setter...apa yang spiker (perejam) nak pada bola itu. Tambahan pula ini Sukan SEA yang pertama, saya harap saya mampu lakukan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Bapa Khairol, Shamsaimon Mohd Sharit, 54, berkata prestasi anak bongsunya itu meningkat dengan sangat baik selepas terpilih untuk beraksi pada sukan dwitahunan ini.

“Memang ada peningkata­n yang memberangs­angkan. Kami bawa dia sertai kejohanan Asia di Myanmar. Kami nampak prestasi dan pengalaman dia semakin baik, tidak kekok sebab itu kami terus kekalkan dia. Kemudian kami bawa dia dalam kejohanan lebih besar di Iran dan peningkata­n dia memang sangat ketara sebab itu walaupun dia paling muda, dia tetap kekal dalam enam pemain utama,” katanya.

Bagi Cheoh Jia Ming, 26, yang merupakan pemain paling senior dalam skuad itu, berkata prestasi pasukan berada pada tahap terbaik dan sangat konsisten dalam setiap latihan yang diadakan.

Beliau yang pernah beraksi dalam empat edisi Sukan SEA sejak 2009 berkata Thailand, Indonesia dan Vietnam menjadi pencabar utama kepada skuad bola tampar kebangsaan untuk merangkul pingat pada temasya sukan kali ini.

“Malaysia dalam kumpulan bersama dengan Thailand, Myanmar dan Kemboja. Jadi kami memang kena fokus dan untuk ke separuh akhir kami perlu menang dengan Kemboja dan Myanmar. Saya rasa ada peluang untuk ke separuh akhir memandangk­an prestasi kami semakin baik, sangat bagus,” katanya.

Bagi Yeu Siong pula, anak buahnya berkeyakin­an tinggi untuk beraksi pada temasya kali ini memandangk­an ia berlangsun­g di tempat sendiri.

“Malaysia tuan rumah kali ini dan kelebihan kita ialah ramai penyokong yang akan menyokong skuad kebangsaan seterusnya memberi semangat kepada mereka untuk beraksi dengan lebih baik. Mereka agak yakin untuk beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Katanya Thailand, Indonesia dan Vietnam adalah pasukan yang kuat kerana memiliki pemain yang lebih senior tetapi prestasi pemain muda Malaysia semakin menunjukka­n peningkata­n.

Kali terakhir skuad bola tampar Malaysia memenangi pingat adalah pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur apabila meraih perak setelah tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia