Hujan lebat beberapa hari
Banjir kilat landa pantai barat Sabah termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Kota Belud
KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak lima hari lalu menyebabkan banjir kilat melanda beberapa daerah di pantai barat Sabah termasuk di sini, Penampang, Papar dan Kota Belud.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata pihaknya merekodkan beberapa operasi pemantauan bagi kawasan terjejas.
“Maklumat yang diperolehi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas merekodkan antara kawasan yang dinaiki air termasuklah Jalan Tuaran Bypass termasuk kedua-dua arah dari Bandar Sierra ke Binaung Baru, Kampung Tebobon, dan kawasan berhadapan Taman Puterajaya.
“Kampung Mansiang, Kampung Rampayan dan Jalan Tuaran lama bagi menghubungkan Pekan Manggatal ke Bulatan Pulutan serta Jalan Kampung Timbok turut terjejas berikutan banjir kilat sedalam 0.2 sehingga 0.6 meter di lokasi terbabit,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan yang turut dinaiki air termasuklah perumahan Seri Warisan, Kampung Kitobu dan Jalan Kampung Pomotodon Inanam.
Setakat ini, pihaknya belum merekodkan sebarang pemindahan penduduk di kawasan Kota Kinabalu, Inanam serta Manggatal dan kesemua anggota di BB P Lintas serta BBP Kota Kinabalu dalam mod pemantauan bagi sebarang kecemasan.
Menurutnya, bagi kawasan Penampang terdapat 14 kawasan yang dikenalpasti berisiko banjir kilat.
“Kawasan yang dinayatakan termasuklah Kampung Buliga, Kolopis, Maang, Kibabaig, Napasan, Kiranau, Taman Penampang, Sugud dan Sindanan.
“Beberapa bangunan termasuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Yue Min, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Pejabat Daerah Penampang, Pejabat Pos Penampang dan Majlis Daerah Penampang turut terjejas banjir kilat.
“Kita juga menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berwaspada di Jalan utama termasuk Sugud, Donggongon, Penampang Proper, Bulatan Sigar, Jalan Penampang Spur kerana berisiko dilanda banjir kilat yang serius,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sudah merekodkan seramai 41 mangsa yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Dewan Tun Said dan beberapa keluarga dilaporkan berpindah ke rumah saudara yang selamat.
“Pemeriksaan turut mendapati masih terdapat lima kampung terjejas banjir termasuk Kampung Ejok, Gunding, Linau, Bobot dan Sekolah Kebangsaan Timbang yang membabitkan sejumlah 83 mangsa.
“Setakat ini, belum ada pusat pemindahan baharu dibuka di kawasan ini berikutan paras banjir yang masih berada dalam tahap terkawal,” katanya.
Tambahnya, beberapa jalan utama termasuk Jalan Kampung Bobot, Siasai Tamu dan Jalan Linau dilaporkan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja dan Jambatan Gantung Kampung Butong juga putus akibat limpahan air Sungai Kadamaian.
“Setakat ini, kesemua jalan terjejas dilaporkan semakin surut dan boleh dilalui pada sebelah pagi, bagaimanapun pengguna jalan raya diminta untuk berhati-hati serta bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan keadaan hujan yang dikhuatiri lebat pada sebelah petang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dalam satu kenyataan di sini berkata pihaknya sudah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang dinyatakan bagi menyelaras tindakan bantuan dan penyelamatan.
Katanya, jabatan dan agensi mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan menjalankan pemantauan secara berkala selain menjalankan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas dengan kejadian banjir kilat.
“Bantuan ini termasuklah pemindaham mangsa ke kawasan selamat atau pusat pemindahan yang dibuka di kawasan masing-masing sepertimana yang dilakukan di Kota Belud.
“Kita juga mengingatkan penduduk agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa jika diarahkan untuk berpindah ke kawasan selamat,” katanya.