Beri kerjasama baik kepada Esscom
Oleh AMIR ANUAR SEMPORNA: Pengusaha resort dan pelancongan di daerah ini diharap memberikan kerjasama baik dengan pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah berkata, pasukan keselamatan tidak boleh bekerja secara bersendirian tetapi memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
“Kita perlu membantu dan bersama-sama pasukan keselamatan untuk memastikan semua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena sesi dialog dan majlis pertemuan Esscom dengan pengusaha serta pengendali bot pelancongan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Tindakan Awam Esscom Rohiman Rahia, Ketua Staf Pusat Operasi Esscom Brig Jen Dato’ Md Rahim Mohamad, Timbalan Ketua Staf Perisikan Esscom ACP Hashim Justin, Timbalan Ketua Staf Siasatan Khas dan Teknikal Esscom ACP Victor Sanjos, dan Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas.
“Pengusaha resort mempunyai tanggungjawab membantu pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan semua peraturan yang dikuatkuasakan.
“Apabila ada kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pengusaha bot pelancongan, pasukan keselamatan akan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Chacho berkata, semua ejen pelancongan terutamanya dari China begitu mengambil berat soal keselamatan termasuk kemudahan yang disediakan oleh para pengusaha resort.
Menurutnya, Esscom sudah mengeluarkan garis panduan keselamatan bot-bot pelancong yang diedarkan melalui pejabat daerah sebagai panduan asas kepada semua pengusaha.
“Sistem Pengesan Automatik (AIS) misalnya perlu dipasang oleh semua pengusaha bot pelancongan untuk keselamatan semua pihak,” katanya.