Instrumen beduk wajar diperkenal
Untuk dihayati dan dipelajari generasi muda
MEMBAKUT: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Haji Mohd. Arifin Haji Mohd Arif pada Ahad telah merasmikan Festival Beduk Peringkat Daerah Kecil Membakut yang telah berlangsung di Dewan Dato Syahbandar Salleh Kampung (Kg.) Binsulok, di sini pada Ahad.
Festival ini mengetengahkan salah satu instrumen tradisi Islam keperluan musim waktu berbuka puasa dan solat waktu bulan Ramadan dan hari raya selain untuk memberitahu apabila ada musibah seperti orang meninggal dunia dan sebagainya di sesebuah kampung.
Pada masa lampau, beduk akan dipalu apabila masuknya waktu solat, tibanya Ramadan, hari raya ataupun ada perkumpulan di mana setiap pukulan adalah berbeza-beza mengikut tujuannya mengapa ianya dibunyikan.
Penganjuran Festival Beduk adalah bertujuan untuk memperkenalkan kepada generasi muda masa kini tentang pentingnya alat beduk ini dalam kehidupan masyarakat dulu-dulu di mana budaya pukul beduk ini wajar diperkenalkan dan dipelihara agar ianya tidak terus pupus di telan zaman.
Sebanyak sepuluh kampung dalam daerah Membakut menyertai pertandingan pukul beduk ini iaitu Kg. Limadang, Saga Saga, Brunei, Mawau, Bambangan, Lumat, Baitam, Baru Membakut, Binsulok dan Likas Binsulok.
Turut diadakan sempena festival itu adalah Pertandingan Melukis Kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang disertai kira-kira 40 orang kanak-kanak.
Lebih tiga ribu masyarakat kampung sekitar daerah Membakut hadir menyaksikan Festival Beduk Peringkat Daerah Kecil Membakut berkenaan.
Sementara itu dalam pertandingan pukul beduk, johan telah disandang oleh Haji Saruji Hj Abd Rahman wakil dari Kg. Brunei, naib johan Ag Anak dari Kg. Saga Saga dan tempat ketiga Haji Wan Estor Wan Tuah dari Surau Cahaya Hidayah Kg. Likas Binsulok.
Manakala bagi pertandingan mewarna kanak-kanak johan disandang oleh Nur Farhana Syahrina Ag Fadli, naib johan Dg. Nurhidayah Ag Amat dan tempat ketiga Nurul Syazwanie Ag Liman.
Hadiah saguhati turut diberikan kepada empat peserta iaitu Dg Nurun, Mohd Yuzeirey, Nur Hurul Ain dan Agku Ahmad Lutfi.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Membakut Hj Sanudin Hj Ismail, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Membakut Hj Pg Hamzah Pg Ag Simpul dan Ketua Daerah Membakut Hj Muadi Saman. Hj Abd Latif Osman.