181 sampel haiwan dihantar ke VRI untuk ujian virus rabies
KUCHING: Sejumlah 181 sampel daripada anjing, kucing dan kelawar yang diperolehi telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh untuk ujian virus rabies atau anjing gila.
Menurut kenyataan akhbar SekretariatJawatankuasaPengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam, sampel itu terdiri daripada 163 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar.
Jelasnya, sampel itu diperolehi dari bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke VRI Ipoh untuk ujian virus rabies.
Bagaimanapun, bilangan sampel positif virus rabies melalui ujian
(FAT) masih kekal 33 sampel anjing dan 6 sampel kucing daripada 157 keputusan sampel yang diterima dari VRI Ipoh.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan Program Pemvaksinan Anjing di kampung-kampung di bahagian Serian di lapan kampung pada Selasa (15 Ogos).
Antara kampung terlibat, Kampung Bantang, Kampung Kakeng, Kampung Jenan, Kampung Lanchang, Kampung Labak Tungan, Kampung Riih Daso, Kampung Benat dan Kampung Plaman Nyabet.
“Pada hari ini (semalam), setakat jam 3 petang sebanyak 206 ekor anjing telah divaksin di lapan kampung di daerah Bau.
“Secara kumulatif, sebanyak 30,511 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 22,869 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.
“Sebanyak 34,315 survelan aktif dan 733 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman,” katanya.
Pada masa sama JPVS juga ingin mengingatkan kepada semua pihak agar mengelak haiwan kesayangan sama ada yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif.
“Sila hubungi Bilik Operasi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082-443991 atau 446991 atau 447960 untuk sebarang laporan mengenai wabak rabies,” jelasnya.