Acara veteran Tertutup Sabah dirombak
KOTA KINABALU: Dua acara veteran lelaki yang dipertandingkan di Kejohanan Badminton FLEET Tertutup Sabah 2017 dirombak bersesuaian dengan minat penyertaan para pemain.
Kejohanan anjuran Persatuan Badminton Sabah (SBA) dengan kerjasama Persatuan Badminton Daerah Keningau (Keningau BA) itu akan berlangsung di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Keningau bermula 15-17 September.
Presiden SBA Janih Bangud berkata, dua acara veteran yang dimaksudkan itu ialah beregu veteran gabungan umur 80 tahun ke atas (minimum 40 tahun) dan beregu veteran gabungan umur 90 tahun ke atas (tanpa had umur minimum).
“Kedua-dua acara ini menggantikan acara beregu veteran lelaki 40 dan 50 tahun ke atas yang dipertandingkan tahun lalu.
“Acara veteran merupakan acara sampingan menghiasi aksi lima acara utama kategori terbuka iaitu, perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran,” jelas beliau dihubungi pada Selasa.
“Bagi pihak SBA, saya berterima kasih kepada Keningau BA kerana sudi menjadi tuan rumah untuk kejohanan tahunan SBA yang paling berprestij ini.
“Terima kasih juga kepada produk badminton Fleet yang menjadi penaja utama kejohanan ini,” tambah Janih.
“Sesungguhnya sokongan penaja amat diperlukan untuk memastikan kesinambungan usaha mempromosi dan pembangunan sukan ini berterusan dan melahirkan pemain bertaraf dunia.
“Sejajar itu, saya berharap semua cawangan daerah dapat menghantar para pemain terbaik masing-masing untuk mengambil bahagian di kejohanan itu bulan hadapan,” katanya lagi.
Kejohanan ini hanya terbuka untuk disertai oleh warganegara Malaysia dan sekurang-kurangnya telah bermastautin tiga bulan di negeri Sabah atau di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pemain dari negeri-negeri lain yang layak menyertai kejohanan ini perlu mendapatkan surat kebenaran pelepasan dari persatuan badminton negeri asal dan sekiranya terpilih, pemain ini akan mewakili negeri Sabah untuk tempoh dua tahun iaitu sehingga tahun 2019.
Setiap pemain hendaklah mendaftar melalui Persatuan Badminton Daerah masingmasing atau Persatuan Badminton Labuan. Jika pemain itu berniat untuk mewakili daerah lain, kebenaran bertulis dari kedua-dua persatuan badminton daerah yang berkenaan (surat pelepasan dan surat penerimaan) perlu ada untuk layak diterima.
Setiap daerah dibenarkan mendaftar maksimum empat penyertaan sahaja dalam setiap acara kecuali pemain (termasuk pemain acara beregu yang sama pasangan) yang telah berjaya memasuki pusingan ‘16 Terbaik’ semasa Kejohanan Badminton Tertutup Sabah 2016.
Jika ada pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan ini tanpa sebab yang munasabah secara bertulis ditujukan kepada SBA, nama pemain ini tidak akan didaftarkan oleh SBA untuk menyertai kejohanankejohanan kebangsaan atau antarabangsa.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau borang penyertaan boleh menghubungi persatuan badminton daerah masing-masing atau hubungi pejabat SBA di talian 088255193 atau email: sba1956@ gmail.com, 016-8107778 (Ting Ching Liong) atau 016-8805484 (Muhidin Mahali).