Peluang cerah pelajar Almacrest ambil kursus pengajian luar negara
KOTA KINABALU: Pelajar Almacrest International College dan Almacrest Global kini boleh mengambil kursus dalam bidang perniagaan jangka pendek di Chamber International School of Business and English.
Ketua Pegawai Eksekutif Almacrest International College Stephanie Yen Chung Wai berkata ia adalah hasil usahasama antara Almacrest dan Chamber International.
“Kursus-kursus yang ditawarkan di universitiuniversiti terpilih melalui kerjasama Chamber International itu diiktiraf sebagai setara dengan Diploma in the Australian Qualification Firmwork (AQF) apabila pelajar berjaya menyelesaikan semua modul di Almacrest.
“Ini membolehkan pelajar Malaysia mendapatkan Diploma Antarabangsa dalam tempoh 12 bulan atau kurang dalam negara bergantung kepada keupayaan dan keazaman mereka dalam pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Almacrest Global dan Chamber International School of Business and English, di sini pada Selasa.
Menurut Stephanie, terdapat lapan universiti antarabangsa di bawah kerjasama Chamber International akan terlibat dalam MOA berkenaan.
“Antaranya adalah Australian School of Management, Griffith University, University of Canberra, Southern Cross University, Flinders University, Western Sydney University, Torrents University dan Swiss Business School.
“Manakala kami berharap agar lebih banyak universiti antarabangsa dapat bekerjasama pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan juga selaras dengan visi Almacrest untuk menjadi pusat latihan antarabangsa yang terletak di Sabah.
“Ia juga sebagai matlamat kami untuk melihat lebih ramai penduduk tempatan mengambil peluang mendapat pendidikan tinggi peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, dalam kerjasama berkenaan, pelajar yang terlibat boleh terus menyambung pengajian tahun kedua Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti terlibat.
Turut hadir, wakil dari Rhodes Group Australia Simon Christensen, wakil Focus Learning Group Scott Hillard, wakil MCI Lee Mun Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Almacrest Global Mathew Yen dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Almacrest Dudi Pan.