Tiada tempoh masa laksana perintah berkurung, kata Khalid
KOTA KINABALU: Tiada perancangan untuk menetapkan tempoh masa pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perintah berkurung yang dilaksanakan di tujuh daerah terbabit akan terus dijalankan selagi pihaknya menerima maklumat ancaman oleh penjenayah rentas sempadan.
Katanya, tiada kerangka masa yang ditetapkan untuk melaksanakan perintah berkurung di Esszone dan penguatkuasaan undangundang akan terus dilakukan di sana bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terjamin.
Perintah berkurung perlu dilaksanakan demi menjamin keselamatan pelawat, petugas, pelancong serta masyarakat di pantai timur Sabah.
“Kitatidakmahumasyarakat serta penduduk di kawasan Esszone terus diancam pihak penculik dari negara jiran selain memastikan perjalanan harian rakyat berjalan seperti biasa,” katanya.
Perintah berkurung di Esszone meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan upacara pemakaian pangkat pegawai kanan kepada tiga superintendan dan 10 deputi superintendan, di sini pagi Khamis.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dan Timbalannya Datuk Razarudin Husain serta Komander Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali.