Tawfiq ucap tahniah kepada Fatin dan Lee
KOTA KINABALU: Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan
(gambar) ucap tahniah kepada Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Lee Kin Lip yang membantu pasukan memanah Compound Berpasukan Wanita dan Lelaki memenangi dua emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 untuk Malaysia pada Khamis.
“Saya dan seluruh rakyat Sabah merasa bangga serta mengucapkan syabas kepada atlet memanah Compound Berpasukan Wanita dan Lelaki Malaysia yang berjaya memenangi pingat emas kedua dan ketiga.
“Istimewanya buat kita kerana ada dua atlet Sabah yang turut memainkan peranan membantu meraih kemenangan tersebut iaitu Fatin Nurfateha Mat Salleh dari Kota Kinabalu dalam pasukan wanita dan Lee Kin Lip dari Tawau dalam pasukan lelaki,” kata Tawfiq ketika dihubungi.
Pertandingan memanah di Padang Sintetik, Majlis Sukan Negara Bukit Jalil itu menyaksikan Fatin yang bergandingan dengan Saritha Cham Nong dan Nurul Shazhera menewaskan pasukan Vietnam (Lee Ngoc Huyen, Chau Kieu Qanh, Nguyen Thi Nhat Le) 253252 pada final.
Ia adalah pingat kedua Fatin. Pada Rabu, Fatin, 26, menang pingat gangsa acara individu Compound selepas menumpaskan Dellie Threesyadinda dari Indonesia, 143-141. Sebelum itu, Fatin terlepas peluang ke perlawanan akhir apabila tewas 142-145 di tangan Kieu Oanh dari Vietnam.
Final berpasukan lelaki pula menyaksikan Lee yang bergandingan dengan Mohd Juwaidi Mazuki dan Zulfadli Ruslan menundukkan pasukan Singapura (An Hang Ten, Alan Lee, Pang Toh Jin) 228-222.
Beliau berkata, kejayaan itu sudah pasti akan mendorong semangat atlet-atlet lain berjuang bersungguhsungguh bagi mencapai kejayaan dalam sukan masingmasing dalam pemburuan mengotakan sasaran negara meraih 111 pingat emas sekaligus muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Saya berharap lebih ramai atlet Sabah akan membantu meraih pingat emas untuk negara.
“Bagi atlet Sabah yang berjaya meraih pingat dalam Sukan SEA ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah menyediakan insentif tunai bagi menghargai kejayaan tersebut selain insentif tunai kerana mewakili negara dalam temasya sukan yang berprestij ini,” kata Tawfiq.
Seramai 28 atlet Sabah adalah antara 874 atlet kontinjen negara menghadapi edisi ke29 sukan dwi tahunan Asia Tenggara itu.
Malaysia menyertai 397 daripada 404 acara daripada 38 jenis sukan yang dipertandingkan. Atlet Sabah terlibat dalam 12 jenis sukan.