Malaysia, Filipina jalin kerjasama dalam teknologi tenaga hijau
MANILA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Tenaga Filipina, Alfonso G. Cusi sempena Misi Ekonomi dan Promosi Minyak Sawit dan Getah ke Filipina pada Julai 2017 lalu.
Tumpuan utama pertemuan adalah bagi meneroka kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui terutamanya biodiesel, bioetanol dan bio bahan api generasi kedua di antara kedua-dua buah negara.
Permintaan tinggi untuk bahan bakar yang boleh diperbaharui telah melonjakkan pengeluaran bio bahan api di seluruh dunia.
Sebagai salah sebuah negara pengeluar utama minyak sawit, Malaysia melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara meluas mengenai pengeluaran biodiesel berasaskan sawit sejak tahun 1980-an.
Filipina kini menggunakan B2 (campuran 2% biodiesel dan 98% diesel berasaskan petroleum) dan kini berusaha untuk meningkatkan campuran kepada B5 (campuran 5% biodiesel dan 95% diesel berasaskan petroleum) menggunakan metil ester berasaskan kelapa, coco-methyl ester (CME).
Sekiranya pelaksanaan B5 tersebut dijadikan mandatori oleh Kerajaan Filipina, mereka memerlukan tambahan sebanyak 350 juta liter atau lebih kurang 350,000 tan CME untuk program tersebut.
“Minyak sawit Malaysia boleh menjadi alternatif kepada minyak kelapa sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biodiesel di Filipina,” kata Mah.
“Ini kerana minyak kelapa boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi. Adalah munasabah untuk Filipina mengeksport minyak kelapa bagi mengaut pendapatan yang lebih menguntungkan daripada menggunakannya sebagai bahan mentah untuk biodiesel,” tambah Mah.
Menurut Indeks Mundi, harga minyak kelapa yang mencapai USD1,682 setan adalah 2.6 kali lebih tinggi berbandingharga minyak sawit iaitu USD655 setan pada bulan Mei 2017.
Pada masa ini, Malaysia melaksanakan Program biodiesel B7 yang mampu memanfaatkan 350,000 tan biodiesel sawit dalam setahun.
Biodiesel sawit dihasilkan oleh pengeluar biodiesel yang berdaftar di bawah Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA).
Terdapat 23 pengeluar biodiesel di Malaysia dengan gabungan kapasiti pengeluaran komersial sebanyak 2,708,000 tan biodiesel sawit setahun.
Industri biodiesel di Malaysia dapat menampung program biodiesel tempatan serta memenuhi permintaan pasaran eksport di seluruh dunia.
MPOB kini menjadi salah satu pengeluar teknologi yang berjaya untuk pengeluaran biodiesel dengan membina kilang komersialnya yang pertama pada tahun 2006. Teknologi pengeluaran biodiesel berasaskan tempatan adalah setanding jika tidak lebih baik daripada teknologi luar negara.
Semasa misi tersebut, satu sesi dialog yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mah turut diadakan bagi mendapatkan maklum balas pihak sektor swasta di Filipina serta kumpulan ahli perniagaan Malaysia mengenai imej minyak sawit serta strategi berkesan yang boleh diadaptasi bagi mempromosikan penggunaan minyak sawit dalam aplikasi makanan dan bukan makanan di negara tersebut.
Di samping itu, lawatan kerja ke YanYan International yang merupakan syarikat pengeluaran makanan tempatan turut dimuatkan dalam program misi tersebut. Ia menghasilkan makanan ringan, cip, keropok, coklat dan minuman yang berkualiti dan ditawarkan pada harga yang berpatutan kepada penduduk tempatan. Secara keseluruhan, YanYan International menggunakan sekitar 150 tan minyak sawit untuk operasi harian mereka.
Sebagai tindakan susulan, MPOB telah diamanahkan oleh pihak Kementerian untuk mengetuai perbincangan di peringkat teknikal bersama dengan pihak Jabatan Tenaga Filipina dalam menerokai bidang usahasama yang boleh dijalin bagi memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua buah negara.