Utusan Borneo (Sabah)

96 PTI ditahan dalam operasi bersepadu di rumah kongsi tapak pembinaan

-

JOHOR BAHRU: Seramai 96 pendatang asing tanpa izin (PTI) terdiri daripada 85 lelaki dan 11 wanita ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen negeri di kawasan rumah kongsi tapak pembinaan perumahan Jalan Durian, Taman Kota Masai, di sini, pada Jumaat.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor Muhammad Hafiz Khamis berkata serbuan bermula pada 1.30 pagi itu melibatkan tiga buah blok penempatan haram berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 291 orang termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga dan 60 tahun, telah diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, kita menahan 53 warga Indonesia, 32 Bangladesh, lapan Myanmar dan tiga Vietnam.

“Kesemua yang ditahan didapati telah melakukan kesalahan menetap melebihi tempoh masa yang dibenarkan selain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika dan akan ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini bagi menjalanka­n siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tiada dokumen perjalanan sah.

Menurut Muhammad Hafiz, semasa serbuan dijalankan, pihak imigresen juga mendapati kawasan penempatan berkenaan ‘dikawal’ menggunaka­n beberapa ekor anjing bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Operasi bersepadu itu disertai 50 pegawai Jabatan Imigresen negeri, selain 140 pegawai dan anggota Jabatan Pendaftara­n Negara, Majlis Perbandara­n Pasir Gudang, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia