Neymar buat penampilan sulung di Paris berdepan Toulouse
PARIS: Selepas memukau dalam kemunculan pertamanya sebagai pemain Paris Saint-Germain (PSG), Neymar bakal membuat penampilan sulungnya di stadium sendiri bagi kelabnya dalam perlawanan menentang Toulouse pada malam esok (Ahad).
Pemain paling mahal di dunia itu menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi dalam persembahan bintang ketika PSG menewaskan Guingamp 3-0 di Brittany pada hujung minggu lepas untuk memelihara permulaan mereka yang sempurna kepada musim baharu di Perancis.
Pemain yang ditandatangani dengan harga 222 juta euro itu (RM1.07 bilion) dari Barcelona sudah pun memasuki padang di stadium PSG, Parc des Princes, untuk diperkenalkan kepada orang ramai sebelum kemenangan 2-0 mereka ke atas Amiens di sana pada hari pertama kempen.
Namun dia tidak sempat didaftarkan untuk bermain dalam perlawanan itu, jadi penyokong PSG ingin sekali melihat pemain berusia 25 tahun itu bermain menentang Toulouse.
Sebaliknya, jurulatih pasukan lawan lebih khuatir sedikit.
“Kami akan pergi ke Paris untuk pertama sekali bertahan, itu memang pasti. Kami akan bertahan sepenuhnya,” kata Pascal Dupraz, yang menyaksikan pasukannya mengalahkan PSG di stadium sendiri dan seri di stadium lawan pada musim lepas untuk menamatkan musim di bahagian tengah liga.
“Saya percaya dengan kemungkinan mendapatkan kemenangan di Paris. Itu adalah keindahan bola sepak juga. Jika saya tidak percaya, lebih baik saya membuat perkara lain.”
Dupraz, yang pada minggu ini membawa masuk pemain sayap Ivory Coast, MaxAlain Gradel, sebagai pemain pinjaman dari Bournemouth, dan menambah: “Kami akan memerlukan tuah dan Tuhan di pihak kami kerana jelas sekali pasukan PSG ini menakjubkan.
“Tetapi berhati-hati untuk tidak memanggil perlawanan ini sebagai Toulouse lawan Neymar! Paris akan memenangi liga, saya rasa, dan akan sekali lagi pergi jauh di Eropah.”
PSG sibuk dengan usaha untuk mengurangkan bil gaji mereka ekoran pembelian Neymar, dan sudah meminjamkan penyerang Sepanyol yang tidak digunakan, Jese, kepada Stoke City dan pada waktu yang sama setuju untuk menjual pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi, kepada Juventus dengan harga 20 juta euro (RM96 juta).
Sementara itu, mereka dipercayai bersedia untuk mengeluarkan satu lagi bayaran blockbuster sebanyak 180 juta euro (RM864 juta) bagi menandatangani pemain sensasi Monaco, Kylian Mbappe.
Penyerang berusia 18 tahun itu, yang berasal dari kawasan pinggiran Paris, ingin sekali melakukan penghijrahan itu dan sementara Monaco lebih suka jika dia pergi ke Real Madrid, juara Perancis itu tidak memasukkannya ke dalam skuad mereka untuk menentang Metz semalam.
Keputusan untuk menggugurkan Mbappe dibuat setelah dia diletakkan di bangku pemain simpanan sepanjang kemenangan 4-1 pada hujung minggu lepas di Dijon, di mana Radamel Falcao menjaringkan hatrik.
“Falsafah di AS Monaco ialah untuk menurunkan mereka yang 100 peratus cergas dan sama sekali dapat bermain untuk skuad,” kata jurulatih Leonardo Jardim.
Lyon menduduki tempat teratas dalam carta awal berdasarkan kelebihan gol dan mereka pasti mahu menjadikannya tiga kemenangan dari tiga perlawanan apabila mereka menerima kunjungan Bordeaux pada malam ini (Sabtu).
Turut mengutip mata maksimum adalah SaintEtienne, yang menerima kunjungan Amiens, dan Marseille, yang mengadakan perlawanan di stadium sendiri menentang Angers di antara dua pusingan perlawanan play-off mereka dalam Liga Europa menentang Domzale dari Slovenia.
Ia adalah permulaan musim yang sukar bagi kelab yang menduduki tempat ketiga pada musim lepas, Nice.
Mereka tewas dalam dua perlawanan pembukaan liga dan kemudian tumpas 2-0 di Napoli dalam pusingan pertama play-off Liga Juara-Juara pada Rabu lepas. - AFP