Utusan Borneo (Sabah)

Asyraaf mahu pemain timba pengalaman

- Oleh VITALIS G. BINGKASAN

KOTA KINABALU: Menyedari sasaran pingat gangsa sudah terlepas, Mohd Asyraaf Fong Abdullah (gambar) mahu pemain fokus menimba pengalaman pada baki dua perlawanan saingan bola sepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Kalah dua perlawanan yang telah diharungi adalah hakikat yang terpaksa diterima. Berhadapan dengan lawan lebih kuat pada baki dua perlawanan, nampaknya peluang untuk kita capai sasaran pingat gangsa telah tertutup.

“Bagaimanap­un, kalaupun tanpa pingat, saya mahu pemain sekurangku­rangnya pulang dengan pengalaman berguna. Oleh itu saya mahu mereka fokus menimba pengalaman menentang pasukan yang rankingnya jauh di depan berbanding kita (Malaysia),” kata ketua jurulatih dari Sabah itu ketika dihubungi pada Jumaat.

Skuad bimbingan Asyraaf itu akan meneruskan cabaran menentang Thailand esok sebelum menamatkan jadual menentang Vietnam pada 24 Ogos.

“Thailand dan Vietnam adalah antara pasukan terbaik Asia. Kedua-duanya layak ke Piala Asia di Jordan tahun depan. Thailand juga antara pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia.

“Tentunya tekanan tinggi berhadapan dengan keduadua pasukan itu tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya tidak dibelasah lagi,” kata Asyraaf.

Asyraaf juga berharap penampilan skuad wanita pada sukan itu membuka minda semua pihak untuk memberi perhatian serius dan memikirkan masa depan bola sepak wanita negara.

“Dua perlawanan yang sudah diharungi telah menampakka­n perbezaan kualiti pemain kita dan negara lawan.

“Sesuatu perlu dilakukan.. perlu ada perhatian serius terutama dalam pembanguna­n jika maju bola sepak wanita kita mengejar negara lain di rantau ini,” kata Asyraaf.

Malaysia tewas 2-1 di tangan Filipina pada perlawanan pertama dan dibelasah 5-0 oleh Myanmar pada perlawanan kedua.

Sebagai rekod, Malaysia adalah pasukan tercorot dalam kalangan pasukan yang bertanding pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam ranking Persekutua­n Persatuan Bola Sepak Antarbangs­a (FIFA).

Malaysia di ranking 80 manakala Filipina ranking 71, Myanmar (45), Vietnam 32) dan Thailand (29).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia