35 AGENSI LEMAH
Dari segi tahap pematuhan AKKP 1994
KOTA KINABALU: Sebanyak 35 agensi kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini masih lemah dalam tahap pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, berdasarkan hasil audit tahun lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah Mohd Zahari Hitam (gambar) berkata, sebanyak lapan agensi kerajaan Persekutuan termasuk satu PBT mendapat gred B, manakala selebihnya mendapat Gred C.
“Kita mendapati kebanyakan agensi terlibat lemah dalam tahap pematuhan AKKP 1994, pengurusan dokumen KKP serta kesedaran daripada pihak pengurusan dan kumpulan sokongan penjawat awam yang masih kurang memuaskan.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, kesalahan tidaklah berisiko tinggi dan ketidakpatuhan berlaku hanya daripada aspek kekemasan pejabat, keadaan fizikal pejabat dan sebagainya.
“Tindakan sudahpun diambil iaitu memberikan surat arahan, nasihat dan tunjuk ajar agar kesilapan sebelum ini akan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam ‘Hazard
Identification, Risk Assesement
and Risk Control’ (HIRARC) peringkat negeri Sabah 2017, di sini pada Khamis.
Zahari berkata, pelaksanaan audit pematuhan AKKP 1994 bagi tahun ini pula lebih memfokuskan sektor awam seperti hospital awam, jabatanjabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan agensi lain yang berisiko tinggi.
Justeru katanya, ketua jabatan dan penjawat awam haruslah memberikan komitmen yang baik dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Sementara itu, Timbalan Presiden I Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Mohd Shaman Jaes mengingatkan majikan atau ketua sektor supaya melaksanakan sepenuhnya AKKP 1994 dalam sistem pengurusan dan pentadbiran jabatan masing-masing.
Katanya, JKKP juga diminta supaya mengenakan tindakan yang lebih rasional dan komprehensif melalui akta berkenaan dalam mengenakan tindakan kepada majikan atau jabatan yang tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan.
“Kita kena melihat dalam dimensi berlainan iaitu dahulu kita tidak kerja secara mencabar, tetapi sekarang akibat pembangunan, ledakan teknologi, ekspektasi manusia menyebabkan pekerja kita menghadapi pelbagai ancaman.
“Jadi, JKKP perlu menguatkuasakan akta yang sedia ada ini tidak kira sama ada kerajaan mahupun swasta agar pembangunan modal insan dalam menjana pembangunan dapat dijaga dengan baik supaya penjawat awam dapat bekerja secara kondusif dan sistematik,” katanya.