‘Penjenayah mati ditembak’ di Hospital Pakar KPJ Damai?
Adegan Latihan Bencana di Hospital Pakar KPJ Damai
S
EORANG penjenayah terbunuh dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian tembakmenembak antara pasukan polis dan penjenayah yang melakukan kekecohan di Hospital Pakar KPJ Damai, petang Rabu.
Sementara itu, lima orang mengalami cedera ringan termasuk tiga penjenayah dan dua kakitangan hospital.
Insiden yang bermula jam 3 petang itu menyaksikan penjenayah melepaskan tembakan dari aras empat bangunan hospital sebaik sahaja kenderaan polis memasuki perkarangan hospital.
Suasana menjadi kelamkabut apabila kakitangan hospital bersama pesakit mula keluar meninggalkan bangunan selepas dimaklumkan tentang insiden kekecohan yang berlaku dalam bangunan itu.
Selepas kakitangan meninggalkan bangunan hospital, anggota polis terus memasuki bangunan berkenaan untuk berunding dengan lima penjenayah yang difahamkan datang ke hospital itu bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, rundingan berakhir dengan insiden tembakan hingga menyebabkan seorang penjenayah ditembak mati.
Dalam insiden itu, seorang kakitangan hospital cedera di kaki akibat terkena tembakan yang dilepaskan penjenayah dan seorang lagi cedera disebabkan terperangkap dalam kebakaran.
Situasi bertambah cemas apabila pasukan bomba diberitahu terdapat bahan kimia yang disimpan dalam salah sebuah kenderaan yang parkir di hadapan bangunan berkenaan.
Pasukan Pasukan Unit
Bahan Berbahaya (Hazmat) kemudiannya bertindak mengambil dan mengalihkan bahan kimia itu jauh daripada orang awam.
Demikian situasi yang berlaku di Hospital Pakar KPJ Damai semasa Latihan Bencana (Disaster Drill) yang dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Damai Dr Lim Keok Tang berkata latihan kecemasan sebegitu diadakan setiap tahun namun, tahun ini ia agak komprehensif kerana latihan turut melibatkan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).
“Latihan ini penting bagi memberi latihan kepada kakitangan hospital supaya sentiasa bersedia sekiranya berlakunya bencana mahupun kes kecemasan sebegini.
“Seramai 65 orang kakitangan hospital terlibat dalam latihan bencana ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Hazmat Negeri Mohammad Hannis Mokhtar berkata latihan pada kali ini membabitkan kerjasama polis dan bomba.
Pasukan bomba terbahagi kepada bahagian operasi yang melakukan kerja pemadaman api dan pasukan Hazmat yang bertanggungjawab mengalihkan bahan berbahaya daripada lokasi insiden.
“Dalam latihan ini, penjenayah bertindak meletakkan bahan kimia berbahaya dalam salah sebuah kereta yang berada di kawasan parkir,” katanya.
Mengenai impak yang dapat dilihat melalui kerjasama itu, Hannis berkata latihan sedemikian akan membantu meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat termasuk kakitangan hospital, bomba dan juga polis.
Menurutnya, operasi pemadaman api mengambil masa selama 20 minit dan operasi mengalihkan bahan berbahaya mengambil masa 15 minit.
Anggota polis dan bomba yang terlibat dalam latihan bencana berkenaan kira-kira 50 orang.